Ahad, 30 Julai 2017

Misi bangkit jumpa Thailand

ARKIB : 25/08/2006
Oleh: AMRAN MULUP

PEMAIN Malaysia, Hardi Jaafar (tengah) dijatuhkan oleh ketua pasukan Indonesia, Ponaryo Astaman (kiri) pada perlawanan Pesta Bola Merdeka di Stadium Shah Alam, kelmarin. Indonesia dan Malaysia seri 1-1. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR – Ketumpulan jentera serangan hingga mengharapkan jaringan sendiri pemain pertahanan Muhammad Ridwan membolehkan Malaysia seri 1-1 dengan Indonesia pada perlawanan pertama Pesta Bola Merdeka Ke-38 kelmarin, jelas belum meresahkan jurulatihnya, Norizan Bakar.

Biarpun mengakui barisan awal kesebelasan utama yang diturunkan agak gemuruh tetapi jurulatih itu mempunyai keyakinan anak didiknya bakal bangkit pada pertemuan dengan Thailand malam ini.

Menurut Norizan, kesebelasan utama yang bermain pada babak pertama tampak gementar tetapi setelah beberapa pertukaran di babak kedua menyaksikan kebangkitan lewat permainan tetapi tidak mampu mencipta jaringan.

‘‘Saya lihat ada beberapa pemain gagal bermain baik dan setelah beberapa pertukaran dilakukan barulah nampak pemain kita kembali bersaing dengan Indonesia.

‘‘Biarpun bangkit hanya dilewat permainan tetapi saya puas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang diberikan oleh pemain,’’ ujarnya semalam.

Kelemahan jentera serangan dan bahagian tengah yang tidak banyak merancang gerakan menyaksikan penguasaan penuh Indonesia sepanjang 70 mini babak berlangsung.

Hanya setelah kemasukan K. Nanthakumar, Saramsak Kram dan Mohd. Eddy Helmi Manan melihat jentera serangan dan bahagian tengah tampak bertenaga mencemaskan pintu gol Indonesia.

Berpunca daripada lorongan cantik dari sebelah kanan Mohd. Eddy Helmi, pemain pertahanan Indonesia, Muhammad Ridwan yang dicabar oleh Indra Putra tertanduk bola masuk ke pintu gol sendiri pada minit ke-77.

Gol tersebut terus memadamkan kelebihan milik Indonesia yang membuka jaringan pertama menerusi penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas pada minit ke-15.

Norizan berkata, ekoran daripada beberapa pertukaran tersebut, beliau sudah mendapat gambaran barisan utama yang akan diturunkan menentang Thailand.

‘‘Kali ini corak persembahan pemain akan bertambah mantap dan segala kelemahan yang ada akan dapat diatasi.

‘‘Inilah peluang terbaik untuk pemain kebangsaan untuk menewaskan Thailand malam esok (malam ini),’’ ujarnya.

Kali terakhir skuad kebangsaan menewaskan Thailand pada pusingan awal Piala Tiger tahun lalu apabila skuad bimbingan Bertalan Bicskei ketika itu menang 2-1.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oHuikTt5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan