Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Shah Alam: Slogan era baru yang
dilaungkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nyata indah khabar dari rupa
apabila buat pertama kalinya sejarah memalukan tercipta pada hari pertama
latihan pusat skuad bawah 22 tahun negara (B-22) dengan hanya enam pemain melaporkan
diri.
Situasi suram yang menyelubungi
skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu disebabkan keengganan beberapa pasukan
dan kelab yang tidak mahu melepaskan mereka susulan jadual saingan liga
tempatan yang padat sepanjang bulan ini.
Kim Swee nyata kebingungan
melihat perkembangan terbaru itu kerana beliau turut memiliki tugas berat untuk
memastikan anak buahnya mampu memberi cabaran bermakna pada dua kejohanan utama
- Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada 19
hingga 23 Julai ini serta saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, bulan depan.
Menurutnya, ia pengalaman
pertama sepanjang beliau bergelar jurulatih skuad kebangsaan sama ada ketika
membimbing skuad senior mahupun remaja.
Bagaimanapun, hati dan jiwa
pengendali dari Melaka itu masih utuh dan bersemangat apabila beliau tetap
melaungkan keyakinan mampu menyediakan skuad terbaik untuk dua kejohanan itu.
“Ini pertama kali berlaku,
namun saya lebih suka bersikap positif. Seperti saya katakan, ia amat
menyukarkan saya untuk membina atau mengadakan latihan (dengan enam pemain)
tapi saya harus mengambilnya secara positif.
“Walaupun ia pengalaman
pertama, saya akan cuba sebaik mungkin. Rasanya semua tahu saya sudah melalui
banyak peringkat dan juga ujian sebelum ini, tapi saya tidak akan mengalah
kerana semuanya demi negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama
di Holiday Inn, di sini, semalam.
Daripada senarai 26 pemain yang
dipanggil hanya enam melaporkan diri - Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Irfan
Zakaria (Kuala Lumpur), Adam Nor Azlin, Syahmi Safari (Selangor), Danial Amier
Norhisham (FELDA United) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).
Selebihnya akan hadir secara
berperingkat bermula dengan pemain T-Team Arif Fadzilah esok diikuti sehari
kemudian pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Syazwan Zaipol Bahari.
Pada 9 Julai pula, lima pemain
dijangka melaporkan diri membabitkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT),
Safawi Rasid dan Haziq Nadzli, Johor DT II, Syazwan Andik Ishak, dua pemain
FELCRA FC, N Thanabalan dan Adib Zainudin.
Baki pemain lain dari Pulau
Pinang, Kedah, Sarawak, Kelantan dan Pahang pula akan mula menyertai latihan
pada 12 Julai ini iaitu sehari sebelum aksi persahabatan berdepan B-22 Myanmar
di Stadium Shah Alam.
“Apa yang saya ada sekarang
ini, saya akan teruskan latihan dengan tumpuan kepada kecergasan hinggalah
semua pemain dapat dikumpulkan,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:01 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan