ARKIB : 16/08/2006
Ads by Kiosked
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA Khabar gembira
buat skuad bola sepak Olimpik negara apabila layak secara automatik ke pusingan
kedua pusingan kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008.
Buat pertama kali dalam tempoh
27 tahun skuad Olimpik negara tidak perlu mengharungi saingan pra Olimpik
sebaliknya layak secara automatik berdasarkan kedudukan ranking ke-11
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Skuad Olimpik bimbingan B.
Sathianathan adalah antara 14 pasukan yang diketuai oleh Iraq, Korea Selatan,
Jepun, Bahrain, Iran, Oman, Kuwait, Amiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Lebanon,
Korea Utara, Syria dan Qatar yang layak secara automatik ke pusingan kedua.
Seteru utama skuad negara iaitu
Indonesia, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Singapura terpaksa mengharungi pra
kelayakan untuk memburu 10 tempat yang ditawarkan layak ke pusingan kedua.
Jawatankuasa Pertandingan AFC
yang bermesyuarat 15 Julai lalu telah memutuskan 14 pasukan yang menduduki
ranking terbaik tidak perlu melalui pra kelayakan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, beliau gembira
dengan penghormatan yang diberikan oleh AFC kepada skuad negara ketika kecaman
bertali arus dilemparkan kepada badan induk itu sebelum ini.
Ini adalah khabar paling
gembira dan ini membuktikan skuad remaja kita semakin menunjukkan peningkatan
dan cukup menyakinkan.
Skuad bawah 21 menduduki
ranking ke-11 manakala skuad bawah 20 tahun bimbingan K. Rajagopal pula berada
di ranking keenam Asia.
Ramai yang mengecam FAM
tetapi lihat pencapaian skuad remaja yang telah dibentuk dan saya amat
berbangga dengan kemaraan skuad Sathianathan ke pusingan kedua, katanya di Wisma
FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.
Menurut Ibrahim, skuad Olimpik
negara menduduki ranking terbaik AFC berdasarkan prestasi pada pusingan
kelayakan Sukan Olimpik empat tahun lalu selain prestasi terkini yang turut
diambil kira.
Ujarnya, ini adalah buat
pertama kali dalam tempoh 27 tahun skuad Olimpik negara layak ke pusingan kedua
tanpa perlu mengharungi pra kelayakan.
Ibrahim memberi jaminan skuad
Olimpik negara akan diberikan pendedahan terbaik untuk mengharungi saingan
pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung Februari tahun depan.
Sementara itu, saingan utama
skuad negara di rantau ASEAN iaitu Thailand, Myanmar, Vietnam, Thailand,
Indonesia dan Singapura akan bersaing dalam kelompok 20 pasukan mengharungi
pusingan pra kelayakan.
Sejumlah 10 tempat ditawarkan
untuk layak ke pusingan kedua dengan format kalah mati, perlawanan di tempat
sendiri dan tempat lawan ditetapkan oleh AFC.
Pada pusingan kedua, 24 pasukan
yang layak akan dibahagikan kepada enam kumpulan dengan juara dan naib juara
peringkat kumpulan akan layak ke pusingan terakhir
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4mFFHlIWy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan