Rabu, 26 Julai 2017

Malaysia balas dendam

MOKH TAR DAHARI muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol.
MOKHTAR DAHARI muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol.
Susunan Abdul Hafiz Ahmad
26 Julai 2017 3:00 AM
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 November 1977 menyaksikan kejayaan gemilang barisan pimpinan (Datuk) Soh Chin Aun ini yang turut membalas dendam kekalahan kepada Thailand 3-1 dalam perlawanan akhir Sukan SEAP Bangkok 1975.

Jaringan Bakri Ibni dan (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari pada minit ke-10 dan 69 membenam Thailand 2-0 di padang yang becak akibat hujan namun tetap tidak menghalang keha­diran kira-kira 30,000 penonton ke stadium.


Bakri menyudahkan peluang gara-gara keadaan kelam-kabut di depan gol lawan manakala Mokhtar menanduk masuk bola yang pada mulanya ter­kena palang akibat tandukan awal (Datuk) James Wong.

Skuad emas ini turut menampilkan ramai penyerang berbakat yang juga gandingan serasi Mokhtar iaitu (Allahyarham) Isa Bakar dari Pulau Pinang dan Wan Rashid Muhammad (Kelantan) selain James Wong dari Sabah dan (mendiang) James Yakub dari Sarawak.

Anggota lain dalam skuad bimbingan (Datuk) M. Kuppan ini ialah (mendiang Datuk) R. Arumugam, Rashid Hasan, (Datuk) Jamal Nasir Ismail, (Allahyarham) Yahya Jusoh, (Datuk) Santokh Singh, (Datuk) Shukor Saleh, (Datuk) Abdah Alif dan Yip Chee Keong serta Abdullah Ali.

Namun peminat terlebih dahulu berasa cemas apabila Malaysia kalah mengejut kepada Indonesia 2-1 dalam perlawanan pembuka tirai Kumpulan B.

Dalam perlawanan 19 November 1977 itu, Santokh tersasar sepakan penalti pada minit ke-15 manakala Abdah tampil merapatkan jurang gol dua minit sebelum tamat permainan.

Mujurlah dua perlawanan berikutnya menyaksikan kebangkitan garang skuad negara dengan membelasah Filipina 5-0 dan Brunei 7-0 malah mudah melepasi separuh akhir dengan membenam Burma 9-1.

Mokhtar muncul penjaring terbanyak temasya ini dengan tujuh gol dalam ketiga-tiga perlawanan itu diikuti Isa dan Bakri (tiga), James Wong, James Yakub dan Wan Rashid (dua) serta masing-masing satu sumbangan Santokh dan Abdullah.

Sebelum menentang Indonesia juga, James Wong tidak diturunkan secara mengejut gara-gara status amaturnya yang perlu selari dengan peraturan Sukan SEA diragui kerana pernah bermain dengan kelab Hakoah (Australia) pada 1976.

Separuh akhir antara Thailand dengan Indonesia dicemari insiden pergaduhan pemain kedua-dua pasukan dan penonton sehingga memaksa satu mesyuarat jawatankuasa pertandingan lewat malam memberikan kemenangan percuma kepada Thailand.

Indonesia yang sepatutnya bermain perlawanan penentuan tempat ketiga pada sebelah pagi 26 November, tidak hadir atas alasan kesuntukan masa lantas Burma diberikan pingat gangsa.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-balas-dendam-1.507357#ixzz4nxE41euP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan