Jumaat, 21 Julai 2017

Tugas berat nanti Kim Swee


ONG KIM SWEE (kanan) bercakap kepada pemain-pemainnya ketika sesi
ONG KIM SWEE (kanan) bercakap kepada pemain-pemainnya ketika sesi latihan di Bangkok semalam untuk persediaan menentang Indonesia dalam Kelayakan Piala AFC Bawah 23.
Rozaidi Zulkifli
19 Julai 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 18 Julai - Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui dia berhadapan dengan tugas berat dalam kempen kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23), 2018 di Bangkok.

Kim Swee hanya mendapat semua anggota skuadnya dalam masa lima hari sebelum kejohanan, itu pun beberapa pemain yang dipanggilnya gagal melapor diri disebabkan kelab mereka enggan memberi pelepasan.


Bagaimanapun, pengendali dari Melaka itu tidak mahu isu tersebut mengganggu misinya untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara Kumpulan H, sekali gus layak ke pusingan akhir di China tahun depan.

“Saya hanya dapat kumpul pemain lima hari lepas. Bagi saya semua perlawanan amat penting tidak kira sama ada bertemu Indonesia, Thailand mahupun Mongolia. Apa yang penting semua pemain perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan.

“Kalau dibandingkan de­ngan pasukan lain, pasukan kita kurang persiapan rapi. Kita tahu, Indonesia terutamanya telah bersiap sedia lebih awal manakala Thailand menghentikan pertandingan liga mereka lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar di Bangkok, hari ini.

Bagaimanapun, dia mengingatkan pemainnya agar tidak gentar dengan apa jua yang dihadapi pasukan sebaliknya kekal fokus dan mengharungi perlawanan demi perlawanan tanpa memikirkan mengenai ke­seluruhan persaingan peringkat kumpulan itu.

Meskipun persiapan skuad B-22 negara serba kekurangan, Kim Swee yakin anak buahnya sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit sama se­perti pasukan lain.

“Saya percaya semua pasukan bersiap sedia dengan baik terutamanya Thailand, sebuah pasukan yang hebat dan pilihan. Begitu juga Indonesia. Tapi kita tak boleh memandang rendah kepada Mongolia.

“Saya tetap percaya dengan keupayaan pemain saya kerana tujuan kita ke sini adalah untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” katanya.

Malaysia akan memulakan persaingan di Bangkok de­ngan menentang Indonesia esok pada pukul 4 petang (5 petang waktu Malaysia) di Stadium Nasional Supachalasai.
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tugas-berat-nanti-kim-swee-1.504595#ixzz4nSkl33cV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan