Jumaat, 21 Julai 2017

Baiki kelemahan



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegagalan skuad bawah 15 tahun negara (B-15) melangkah ke final Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) tidak mencemaskan pengendali Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Skuad yang ditunjangi 100 peratus produk NFDP itu tewas tipis 0-1 kepada Thailand dalam perlawanan di Chonburi kelmarin.

Kegagalan itu menyaksikan cubaan untuk menakluk rantau ini sekali lagi gagal biarpun sebelum ini menyerlah dalam beberapa kejohanan seperti Iber Cup Costa Del Sol di Sepanyol 2015 serta Piala SuperMokh, Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif NFDP Safirul Azli Abu Bakar (gambar) berkata, walaupun agak kecewa skuad bimbingan Raja Azlan Shah itu gagal meneruskan kemaraan hingga ke final, namun beliau melihat banyak perkara positif dengan pemain berkenaan mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan.

“Kita sebenarnya hanya menghantar skuad kedua ke kejohanan itu dan merehatkan pasukan elit.

“Ia bertujuan memberi peluang kepada pemain skuad kedua itu untuk diserapkan ke pasukan elit yang akan bertanding di pusingan kelayakan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) B-16 yang turut menawarkan laluan ke Piala Dunia 2019 nanti.

“Jadi, kami di NFDP yakin percaturan menghantar skuad kedua bukan suatu kegagalan tapi ia sebahagian daripada pembangunan bagi memberi peluang dan meluaskan bakat pemain muda kita,” katanya ketika dihubungi, Arena Metro semalam.

NFDP yang ditubuhkan pada 2014 lalu menyasarkan untuk layak ke saingan Piala Dunia Remaja B-17 pada 2019 nanti yang menjadi misi utama penubuhan organisasi itu selain mahu melahirkan hampir 50,000 pemain menjelang 2020.

Menurut Safirul, selepas ini fokus skuad berkenaan tertumpu kepada perebutan tempat ketiga dan keempat apabila dijadualkan turun menentang Australia B-15 hari ini.

“Kita tidak pernah bertemu skuad pelapis Australia. Jadi pengalaman ini amat penting dalam persiapan kelayakan Piala AFC (B-16), September ini.

“Pada masa sama, pemain perlu ingat aksi di Thailand bakal menjadi bekalan mereka untuk dipilih menyertai skuad utama.

“Jurulatih Lim Teong Kim (Pengarah NFDP) akan menilai prestasi pemain untuk dimasukkan ke dalam skuad utama ke saingan Piala AFC nanti,” katanya.

Berdasarkan undian kelayakan Piala AFC nanti, Malaysia diletakkan sekumpulan bersama-sama Jepun, Singapura dan Guam dalam kumpulan J yang berlangsung di Bekasi, Indonesia bermula 20-24 September.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 4:16 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan