Sabtu, 8 Julai 2017

Eddy Helmi dipanggil hadapi Pestabola



 
ARKIB : 15/08/2006
Ads by Kiosked
Eddy Helmi dipanggil hadapi Pestabola
Eddy Helmi.

KUALA LUMPUR – Eddy Helmi Manan yang pernah disingkirkan oleh bekas jurulatih, Bertalan Bicskei kerana masalah disiplin dua tahun lalu, kembali mendapat tempat dalam skuad pelatih negara ke Pestabola Merdeka, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Pemain tengah Johor FC itu merupakan antara 23 pelatih yang dipanggil melapor diri kepada jurulatih, Norizan Bakar dan penolongnya, Nasir Yusof di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya mulai semalam.

Skuad negara bakal berdepan Indonesia, Thailand dan Myanmar dalam Pestabola Merdeka edisi ke-38 yang dihidupkan semula oleh FAM sejak terhenti pada 2001 di Stadium Shah Alam dari 23 hingga 29 Ogos ini.

Kepulangan Eddy juga dianggap kejutan setelah pasukannya, Johor FC sekadar menduduki tempat tercorot Kumpulan B Piala Malaysia dengan hanya satu gol sumbangannya ketika menentang Kedah pada 15 Julai lalu.

Perak dan MPPJ masing-masing mempunyai wakil paling ramai. V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Nasril Nourdin dan S. Subramaniam merupakan pemain Perak sementara dari MPPJ ialah Khaironnisam Shahabuddin Hussain, Fauzi Nan, K. Nanthakumar dan Chan Wing Hoong.

Sayap kiri Pahang, Indra Putra Mahyuddin yang kembali memikat Norizan sejak menentang Singapura dalam siri persahabatan Mei dan Jun lalu turut disenaraikan bersama rakan sepasukannya, Fadzli Saari dan Norhafiz Zamani Misbah.

Turut disenaraikan ialah dua pemain Telekom Melaka, Hardi Jaafar dan Rudie Ramli selain penjaga gol Negeri Sembilan, Azizon Kadir.

Azizon dan Nasril bakal bersaing merebut cuma dua tempat bersama Syamsuri Mustafa dari Terengganu yang dipilih sebagai Pemain Terbaik suku akhir Piala Malaysia menentang Perlis, minggu lalu.

Tujuh pelatih negara lain ialah Mat Saiful Mohamad (Pulau Pinang), P. Gunalan (Selangor), Azi Shahril Azmi (Perlis), Norfarhan Mohamad, Norhisham Hassan (Terengganu), Ronny Harun (Sabah) dan Saramsak Kram (Kedah).

Malaysia akan memulakan kempen Pestabola dengan menentang Indonesia pada 23 Ogos yang diperkuatkan dua pemain buangan Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy serta Ponaryo Astaman dari Telekom Melaka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4mEePkTk7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan