Jumaat, 21 Julai 2017

Bola Shebby: Utama tugas bersama negara



Serbegeth Singh
 
Apa jua drama di luar padang, persembahan di atas padang yang membuktikan kekuatan mental pemain serta persiapan taktikal pasukan.

Kita sudah melihat bagaimana skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) dilanda pelbagai cabaran. Pihak kejurulatihan kurang berpuas hati kerana tidak diberi masa mencukupi untuk persiapan kemas bagi Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23.

Perkataan persiapan itu teramat luas. Kita sudah mengikuti perkembangan pasukan bawah umur yang sudah melakukan persiapan panjang. Begitu panjang sehingga kita pernah beraksi dalam liga luar negara. Sudah tentu kita tahu betapa menghampakan pasukan kita yang pernah beraksi di Slovakia serta Australia.

Kita pernah juga beraksi di Liga Singapura, tetapi matlamat ditetapkan juga tidak mencapai sasaran, malah lebih menyedihkan apabila gagal membantu dalam meningkat tahap bola sepak Malaysia. Malah, pemain berpotensi tetap hanya ‘berpotensi’ walaupun usia meningkat.

Jangka masa pendek atau panjang persiapan tidak akan membawa perbezaan sekiranya pemain ini tidak beraksi dalam Liga Malaysia. Beraksi dalam Liga Malaysia lebih mendatangkan faedah daripada pemain dikongkong bersama sebagai satu pasukan.

Kita sudah dapat lihat bagaimana skuad peringkat umur negara gagal menyesuaikan diri menghadapi cabaran fizikal dan mental apabila menentang pasukan yang memiliki kelebihan fizikal serta agresif.

Pelajaran yang kita terima apabila beraksi di Liga Malaysia bersama pemain dewasa akan membantu pemain muda itu menjadi lebih mantap secara keseluruhan.

Apa yang berlaku di Bangkok dalam Kumpulan H boleh menjadi penunjuk arah persiapan baru bagi bola sepak Malaysia. Ada perkara yang harus diselesaikan FAM seperti kehadiran pemain ketika sesi latihan. Seharusnya, setiap pemain yang dipanggil menjalani latihan terpaksa melapor diri kerana ini khidmat negara.

Pemain ini pula dilepaskan untuk mewakili pasukan masing-masing sebelum kembali hadir di kem latihan. Ada separuh pemain yang tidak langsung melaporkan diri mereka dan harus dilupakan. Pemain seperti Matthew Davies sudah menjadi pemain asas pasukan kebangsaan maka harus di hormati sebagai senior.

Kita lihat contoh bagaimana Fadhli Shas yang beraksi untuk pasukan senior, bermain bersama skuad Harimau Malaya sejak 2010 tetapi sejak 2016 mula menunjukkan persembahan naik turun.

Beraksi bertubi-tubi di semua kejohanan antarabangsa selama lima tahun menyebabkan pemain tonggak pertahanan itu kini terkapai-kapai mencari tahap sebenar. Sepatutnya, Fadhli mempersembahkan terbaik kerana sudah memasuki peringkat umur menghala ke kemuncak sebagai pemain bola sepak. Jadi, tidak perlu Matthew mengikut jejak langkah Fadhli dan mengalami ‘burn-out’.

Tetapi, pemain seperti Safawi Rasid tidak sedar bahawa sekadar menjadi pemain simpanan Johor Darul Ta’zim tidak membantu perkembangan kerjayanya. Pemain ini sudah merosot prestasinya dan perlukan banyak aksi untuk kembalikan perkembangannya sebagai seorang pemain bola sepak. Menjadi pemain simpanan atau sambilan di peringkat umur sekarang akan menjejaskan tahap persembahannya. Mungkin Safawi boleh belajar daripada rakan sepasukan Nazmi Faiz Mansor mengenai betapa sukar untuk kembalikan prestasi kerana kesilapan di peringkat umur pembangunan.

Kita berharap pihak FAM serta jurulatih di bawah naungan badan induk itu akan mengambil satu ‘world view’ untuk mencarta pembangunan bola sepak. Adakalanya, pembangunan jangka masa panjang serentak dengan pendek diperlukan tanpa menggadai jangka masa kini!

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 4:13 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan