Ahad, 30 Julai 2017

Indra benam Thailand


 

ARKIB : 26/08/2006 
Oleh: AMRAN MULUP
INDRA Putra Mahayuddin (kanan) melepaskan rembatan walaupun diasak pemain Thailand, Teravit Junsom dalam aksi bola sepak Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Malaysia menang 2-1 menerusi dua gol jaringan Indra.

SHAH ALAM – Dua gol menarik menerusi penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin memastikan Malaysia mengukir kemenangan paling menarik apabila menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan kedua Kejohanan Pestabola Merdeka ke-38 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kelibat Indra Putra yang kembali mendapat kepercayaan menyarung jersi kebangsaan nyata tidak sia-sia menerusi dua golnya pada minit ke-40 dan 77, sekali gus memahatkan kemenangan paling manis ketika skuad kebangsaan dikecam hebat sebelum ini.

Kemenangan ini turut mencerahkan laluan skuad kebangsaan untuk layak ke perlawanan akhir apabila mengutip empat mata setelah seri 1-1 bertemu Indonesia dalam perlawanan pembukaan Rabu lepas.

Skuad bimbingan Norizan Bakar hanya memerlukan keputusan seri apabila menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir malam esok bagi mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir pada 29 Ogos ini.

Ini adalah kemenangan pertama skuad kebangsaan daripada enam perlawanan yang diharungi setakat ini.

Sebelum ini skuad kebangsaan tewas empat perlawanan kepada New Zealand 1-0 dan 2-1 disusuli kekecewaan menerusi penentuan sepakan penalti menentang Singapura di tempat lawan serta di gelanggang sendiri.

Dalam tempoh 10 minit babak berlangsung jelas dikuasai oleh Thailand dengan gerakan kemas serta hantaran-hantaran tepat gagal disaingi oleh anak didik Norizan Bakar.

Begitupun gandingan Indra Putra dan Saramsak Kram jelas bertenaga seringkali mencemaskan benteng pertahanan Thailand.

Pada minit ke-13 peluang terbaik hadir hasil lorongan Muhamad Nor Farhan Muhammad tetapi Saramsak dan IndraPutra lewat menerpa bola yang melintas di hadapan mereka.

Permainan kedua-dua pasukan jelas seimbang tetapi asakan skuad kebangsaan tambah bersemangat apabila Saramsak berjaya melepasi pertahanan lawan tetapisepakan kencang pemain itu terus ke dakapan penjaga gol Thailand, Narit Taweekul pada minit ke-31.

Lima minit sebelum rehat Stadium Shah Alam gamat apabila Indra Putra Mahayuddin memecah kebuntuan jaringan gol.

Bermula daripada sepakan percuma dari sebelah kanan diambil oleh Muhammad Hardi Jaafar bola tepat ke arah Indra Putra biarpun dicabar pertahanan Thailand tetapi penyerang Pahang itu mudah menolak masuk menewaskan Taweekul.

Thailand yang ketinggalan 0-1 pada babak pertama bangkit menggandakan asakan dan gol penyamaan yang dicari diperoleh menerusi jaringan Tana Chanabut pada minit ke-62.

Stadium Shah Alam kembali bergegar buat kali kedua apabila Indra Putra meledakkan jaringan kedua selepas mendapat hantaran satu dua dengan Saramsak dan tolakan mudah menewaskan Taweekul pada minit ke-77.

Dalam perlawanan terdahulu, ketangkasan penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo menjadi penyelamat apabila memastikan pasukan mereka berjaya mengikat Indonesia dengan keputusan seri 0-0.

Kecekapan Aung Oo ternyata mengecewakan banyak percubaan serangan Indonesia yang diketuai oleh Bambang Pamungkas dan Boas Salosa.

Kerancakan permainan kedua-dua pasukan pada awal babak pertama terencat akibat hujan lebat hingga memaksa perlawanan babak kedua lewat setengah jam sebelum bermula.

Buat kedua-dua pasukan keputusan seri tersebut adalah kali kedua setelah Myanmar seri 2-2 bertemu Thailand manakala Indonesia pula mencatat keputusan 1-1 berdepan Malaysia.

Ini sekali gus membuka peluang buat kedua-dua pasukan untuk mara ke perlawanan akhir dan perlu memenangi perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam esok.

KEPUTUSAN

MALAYSIA 2

Indra Putra Mahayuddin (40,77)

THAILAND 1

Tana Chanabut (62)

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oIbDM600 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan