Rabu, 26 Julai 2017

B-22 Malaysia layak ke Piala AFC

Rozaidi Zulkifli
24 Julai 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 23 Julai - Skuad bawah 22 negara (B-22) mengesahkan tempat secara automatik ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China Januari tahun depan.

Anak didik Datuk Ong Kim Swee layak selepas muncul juara kumpulan H dalam kelayakan yang berlangsung di Bangkok itu dengan mengumpul enam mata manakala Thailand sekadar berpuas hati dengan kedudukan sebagai naib juara apabila sekadar meraih lima mata.


Kejayaan itu hadir selepas mereka menundukkan Mangolia 2-0 dalam aksi terakhir kumpulan itu, manakala Thailand sekadar seri 0-0 dengan Indonesia, sekali gus terpaksa menunggu slot lima naib juara terbaik untuk ke China.

Jurulatih skuad muda negara, Datuk Ong Kim Swee menarik nafas lega apabila berjaya mencapai sasaran utama di sini iaitu layak ke peringkat akhir walaupun berdepan persiapan yang serba pincang ekoran kesukaran untuk mengumpulkan pemain.

Tambahannya pemain berhak menikmati kejayaan ini selepas mempamerkan kesungguhan dan sifat tidak putus asa sepanjang mengharungi tiga perlawanan kelayakan di Bangkok.

“Semestinya semua pemain berhak meraih kejayaan ini di atas kesungguhan dan komitmen yang tinggi diberikan mereka sepanjang berada di Bangkok.

“Kejayaan ini juga akan menjadi suntikan moral yang terbaik bagi persiapan skuad ke Sukan SEA bulan depan. Ketika datang ke sini kami telah menetapkan matlamat untuk layak ke peringkat akhir biarpun saya menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan pemain. Yang paling penting sekarang misi itu berjaya direalisasikan dan kami cukup gembira,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, skuad B-22 terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menjaringkan gol pertama menerusi N. Thanabalan pada minit ke-51.

Kubu Mongolia bolos buat kali kedua pada minit ke-86 selepas rembatan padu Syazwan Andik Ishak menerjah penjuru kiri gawang untuk mengesahkan kemenangan 2-0 skuad negara.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Kim Swee mengakui bahawa Mongolia memberi tentangan cukup sengit sehingga memaksa pasukan negara bekerja keras untuk meraih tiga mata.

“Sudah tentu, Mangolia memberi tentangan yang sengit kerana peluang untuk mereka layak juga masih terbuka tetapi pertahanan kita bertahan dengan baik daripada dibolosi dan barisan serangan berjaya menjaringkan dua gol untuk memastikan tiga mata penting ini menjadi milik kita,” ujarnya.

Untuk rekod, Malaysia memulakan aksi pertama dengan cemerlang apabila menewaskan Indonesia sebelum tunduk kepada pasukan pilihan Thailand 0-3 pada perlawanan kedua kumpulan H kelayakan Piala AFC B-23 tersebut.

Juara kumpulan daripada 10 kumpulan yang bertanding akan layak secara automatik manakala lima naib juara terbaik juga akan ke pusingan ak­hir di China.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/b-22-malaysia-layak-ke-piala-afc-1.506662#ixzz4nxGrXAkT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan