‘Supermokh’ jinakkan Garuda
MOKHTAR DAHARI menjaringkan gol
tunggal perlawanan akhir untuk membantu Malaysia menewaskan Indonesia.
Susunan Abdul Hafiz Ahmad
27 Julai 2017 3:00 AM
157
MALAYSIA mempertahankan pingat
emas bola sepak dalam Sukan SEA Jakarta 1979 setelah menjinakkan Indonesia 1-0
dalam perlawanan akhir di depan hampir 90,000 penyokong tuan rumah yang
membanjiri Gelora Bung Karno, Senayan.
Di gawangnya ialah penjaga gol
kelahiran Kelantan, Abd. Hamid Ramli yang mengambil alih posisi utama itu
daripada (mendiang Datuk) R. Arumugam - antara tonggak skuad juara Sukan SEA
Kuala Lumpur 1977.
Turut menganggotai skuad yang
dibimbing oleh (mendiang) Karl Heinz-Weigang itu ialah (Datuk) Jamal Nasir
Ismail, (Allahyarham) Hanis Devandran Abdullah, (Datuk) Soh Chin Aun, (Datuk)
Santokh Singh dan (Datuk) Shukor Saleh.
Lain-lain termasuk (Datuk)
Abdah Alif, (Datuk) Hassan Sani, (Datuk) James Wong, Abdullah Ali, Wan Jamak
Wan Hassan, G. Torairaju dan (Allahyarham) Isa Bakar serta Ramli Abdullah.
Advertisement
Remaining time: 06s Powered By YuMe
Tidak dilupakan pastinya
(Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari apabila jaringan tunggal penyerang legenda
yang digelar Supermokh pada minit ke-21 dalam perlawanan itu memastikan
Malaysia membawa pulang pingat yang dianggap paling berharga.
Namun Hamid nyaris tertewas
dengan gol sendiri bek kanan, Jamal yang tidak perasan kedudukannya ketika
membuat hantaran bola ke belakang sebelum sempat diselamatkan oleh Chin Aun.
“Saya di luar posisi sedangkan
Jamal tidak menyedari ketika mengumpannya. Mujurlah Chin Aun menolak bola yang
menuju pintu gol. Terima kasih kepada ketua pasukan kita itu,” kata Hamid,
mengimbas insiden itu.
Terdahulu dalam liga pusingan
awal, Malaysia mengalahkan Singapura 2-0 hasil jaringan James dan Hassan serta
Thailand 1-0 selain diikat tanpa jaringan oleh Burma dan tuan rumah.
Di gelanggang pingpong, Tan Sok
Hong yang menyerlah dengan tiga emas ketika Sukan SEAP 1975, kembali menjadi
penyumbang tunggal emas di Jakarta menerusi acara beregu wanita, berpasangan
dengan Chong Suik Fong.
Mereka menewaskan Loysawai
Patcharin dan Ladda Kumuthpongpanich dari Thailand.
Tuan rumah menguasai empat
daripada enam emas yang dipertandingkan (perseorangan, beregu dan berpasukan
lelaki serta beregu campuran.
Kelebihan empat mata kutipan
Stanley Lim pula membolehkan penembak Malaysia itu mempertahankan emas acara
clay pigeon skeet perseorangan. Juga pemenang Sukan SEAP 1975 dan 1977, dia
memungut 191 mata berbanding penembak Thailand dan Singapura yang meraih perak
dan gangsa.
sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-supermokh-8217-jinakkan-garuda-1.507837#ixzz4o7oJGapp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan