Sabtu, 29 Julai 2017

Serangan kita mantap – Norizan -- Menjelang Pestabola Merdeka Ke-38


 

ARKIB : 21/08/2006
Serangan kita mantap – Norizan -- Menjelang Pestabola Merdeka Ke-38
Oleh Amran Mulup
Norizan Bakar.
KUALA LUMPUR – Tanpa penyerang Sarawak, Mohd. Safee Sali, gandingan serangan skuad bola sepak kebangsaan tetap mantap dengan kehadiran pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin menghadapi Pestabola Merdeka ke-38 di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar tetap yakin kehadiran Indra Putra mampu menyuntik kekuatan jentera serangan bergandingan dengan penyerang Telekom Melaka, Rudie Ramli dan pemain Perlis, Kram Saramsak.

Walaupun kecewa tidak dapat menggunakan khidmat Mohd. Safee yang ditimpa kecederaan, Norizan melaungkan keyakinan gandingan pemain baru dan lama mampu menggegar bersaing hebat dengan Indonesia, Thailand dan Myanmar.

‘‘Setakat ini gandingan tiga serangkai Indra Putra, Rudie dan Saramsak menunjukkan persefahaman yang baik.

‘‘Saya tidak sangsi dengan keupayaan mereka selain pengalaman bermain dengan pasukan masing-masing mampu menjanjikan kejayaan pada Pestabola Merdeka Rabu ini.

‘‘Cuma saya belum menetapkan siapa dua pemain yang akan mengemudi jentera serangan,’’ ujar Norizan, semalam.

Buat Norizan, pertemuan dengan Indonesia, Thailand dan Myanmar akan menjadi kayu pengukur kekuatan sebenar skuad kebangsaan untuk menghadapi Sukan Asia di Doha, Disember ini.

Beliau menyifatkan gandingan pemain lama dan muda kali ini mampu menerbitkan sebuah skuad yang mantap apabila membuka tirai perlawanan pertama menentang Indonesia.

‘‘Ini adalah ujian paling getir kerana Indonesia menurunkan barisan yang mantap seperti Bambang Pamungkas, Ellie Aiboy, Ponoroyo Astaman dan Boas Salosa.

‘‘Satu ujian paling baik buat skuad kebangsaan dan saya tidak berani meramalkan peluang kita tetapi apa yang penting pemain akan memberikan persembahan paling memberangsangkan,’’ ujarnya.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan pertama menentang Indonesia pada 23 Ogos ini diikuti pertemuan dengan Thailand (25 Ogos) dan Myanmar (27 Ogos).

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Norizan berkata, beliau berharap untuk skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir pada 29 Ogos dan kemenangan ini dianggap sebagai pembakar semangat menghadapi temasya Sukan Asia di Doha.

Setakat ini, kata beliau, persiapan skuad kebangsaan tidak terjejas melibatkan 22 pemain ditimpa kecederaan yang serius.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oGRtuzdg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan