Khamis, 13 Julai 2017

Hanya Jafri Firdaus dilepas kepada Kim Swee

Jafri FIRDAUS CHEW (kanan) menjadi pemain tunggal dilepaskan oleh
JAFRI FIRDAUS CHEW (kanan) menjadi pemain tunggal dilepaskan oleh Pulau Pinang kepada skuad B-22 negara.
13 Julai 2017 3:00 AM
PULAU PINANG 12 Julai - Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memutuskan hanya melepaskan Jafri Firdaus Chew daripada tiga pemain mereka yang dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad bawah 22 tahun Malaysia (B-22) hari ini.

Pengurus Pulau Pinang, L. Katherisan berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira prestasi pasukan mereka yang sedang bergelut di zon penyingkiran Liga Super.


Malam tadi rentak sumbang skuad Harimau Kumbang berterusan apabila mengalami kekalahan ke-11 apabila tunduk 0-2 kepada PKNS di Stadium Negeri Batu Kawan.

Berikutan keputusan itu, FAP membuat keputusan untuk tidak melepaskan S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba dan hanya memberi restu kepada Jafri Firdaus untuk menyahut panggilan skuad Projek Sukan SEA yang berdepan misi penting iaitu menyertai pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand sebelum bersaing dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada bulan depan.
Katherisan berkata, soalan mengapa FAP hanya melepaskan Jafri Firdaus tidak patut ditanya ketika ini.

“Awak perlu tahu dalam kedudukan sekarang Pulau Pinang amat memerlukan pemain-pemain berkenaan namun kami juga tidak bersikap lepas tangan apabila turut membantu skuad negara dengan membenarkan seorang pemain menyertai skuad kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, ketua jurulatih skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee runsing apabila hanya 12 pemain melapor diri untuk menyertai latihan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Stadium Shah Alam esok.

Selain Pulau Pinang, pemain pasukan Kedah dan JDT yang dipanggil juga dilaporkan tidak menghadiri sesi latihan pertama minggu lalu namun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini mengesahkan lima pemainnya sudah dilepaskan selepas perlawanan Liga Super menentang Melaka malam tadi.

Mengulas mengenai prestasi skuad Harimau Kumbang ketika ini, Katherisan berkata, pemain-pemainnya berada di bawah tekanan dan gagal menyerap asakan pasukan pelawat pada masa separuh masa kedua.

“Mereka memberi saingan pada separuh masa kedua namun ternyata tekanan semakin memuncak kerana kedudukan pasukan dalam liga ketika ini,” katanya.

Namun demikian katanya, pengurusan masih positif dan akan menggunakan baki tujuh perlawanan ini untuk meraih mata maksimum sekali gus keluar dari zon penyingkiran
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hanya-jafri-firdaus-dilepas-kepada-kim-swee-1.502204#ixzz4migZGlpg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan