ARKIB : 24/08/2006
Malaysia cemas
INDRA Putra Mahayuddin (kanan)
cuba melepasi pemain Indonesia, Muhammad Ridwan dalam saingan pusingan awal
Pesta Bola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Gambar ASWAD YAHYA.
SHAH ALAM Maruah skuad bola
sepak kebangsaan hampir tercalar tetapi diselamatkan oleh jaringan sendiri
pemain pertahanan lawan, Muhammad Ridwan buat memastikan Malaysia mencatat
keputusan seri 1-1 bertemu Indonesia pada perlawanan pertama Kejohanan Pesta
Bola Merdeka Ke-38 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan seakan memihak kepada
Indonesia yang membuka tirai jaringan pertama selepas 15 minit babak
berlangsung menerusi pemain import Selangor, Bambang Pamungkas untuk mendahului
1-0 pada satu ketika.
Namun, 13 minit sebelum
perlawanan hendak ditamatkan hasil serangan pantas anak didik Norizan Bakar, V.
Thirumurugan membuat lorongan cantik di depan pintu gol Indonesia tetapi pemain
pertahanan lawan Ridwan tertanduk ke gawang sendiri.
Gol penyamaan tersebut cukup
melegakan buat skuad kebangsaan yang bermain terumbang-ambing sepanjang 70
minit babak berlangsung sambil melihat Indonesia jelas menguasai pentas
saingan.
Kebangkitan skuad kebangsaan
dalam tempoh 13 minit perlawanan itu hendak berakhir nyata tidak membuahkan
hasil.
Indonesia membuka tirai
jaringan hasil sepakan cantik penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas pada
minit ke-15.
Bambang mengelecek seorang
pemain pertahanan skuad kebangsaan di luar kotak penalti sambil memusingkan
badan dia melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol, Muhammad
Syamsuri Mustafa.
Tersentak dengan gol awal itu
skuad kebangsaan cuba menggandakan asakan tetapi gandingan serangan menerusi
Indra Putra Mahayuddin dan Rudie Ramli seringkali berada pada posisi ofsaid.
Peluang terbaik untuk
menyamakan kedudukanhadir pada minit ke-37 tetapi dihampakan oleh tandukan
kencang Indra Putra yang ditepis keluar oleh penjaga gol Indonesia, Yandi
Christian Pitoy.
Aksi pada babak kedua tidak
banyak merubah kesebelasan utama yang diilhamkan oleh jurulatih Norizan Bakar
malah tidak berupaya mengimbangi permainan kemas Indonesia.
Gandingan Indra Putra dan Rudie
masih tumpul untuk menembusi benteng ampuh lawan dibarisi oleh Erol Iba, Bayu
Sutha, Ricardo Salampessy dan Muhamad Ridwan.
Situasi sukar itu memaksa
Norizan membawa masuk Mohd. Eddy Helmi Manan dan mengeluarkan Mohd. Fadzli
Saari dalam usaha mengukuhkan bahagian tengah yang tampak kaku sepanjang 50
minit babak berlangsung.
Pada minit ke-61 pintu gol
nyaris dibolosi akibat salah faham dua pertahanan kebangsaan Norhafiz Misbah
dan V. Thirumurugan cuba mengeluarkan bola di depan pintu gol tersepak ke arah
Bambang yang gopoh menyepak keluar.
Gol penyamaan yang dicari
Malaysia menjadi realiti pada minit ke-77 apabila pemain pertahanan Indonesia,
Muhammad Ridwan menanduk ke gawang sendiri bola lorongan Thirumurugan.
Terdahulu, Thailand yang
menjadi pasukan pilihan melalui langkah sukar apabila terikat 2-2 dalam
perlawanan pembukaan pada sebelah petang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oGa3S9So
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan