MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe lega pasukannya meraih tiga mata
penting pada aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia
2023 selepas menang 3-2 ke atas Indonesia dan lebih manis ia dilakukan di
Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Kata pengendali berusia 51 tahun itu, kemenangan pada aksi pertama
sememangnya cukup penting dalam menaikkan keyakinan dan motivasi pemain
menjelang aksi kedua berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Bukit
Jalil, Kuala Lumpur Selasa ini.
Malah, kebangkitan dramatik pemain negara pada babak kedua selepas
ketinggalan dua kali turut mendapat pujian Cheng Hoe yang mengakui gembira
dengan semangat juang dipamerkan anak didiknya itu.
"Seperti yang kita tahu, kita agak gugup bermain pada babak pertama di
Gelora Bung Karno ini. Saya rasa aksi yang memukau daripada pemain terutama
separuh masa kedua di mana pemain saya fokus kepada perlawanan saja.
"Selepas babak pertama kita berjaya mengesan kelemahan dan kesilapan
dan sebab itu pada separuh masa kedua, kita buat perubahan dengan pemain
berjuang hingga ke tamat aksi.
"Kita perlukan keputusan yang baik dan secara keseluruhan saya puji
pemain yang berusaha bersungguh-sungguh hingga ke akhir untuk raih tiga mata
beraksi di tempat lawan.
"Tiga mata pertama dalam aksi pertama ini permulaan yang baik untuk
kita," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan di
Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
Cheng Hoe berharap barisan pemain khususnya di benteng pertahanan segera
perbaiki kelemahan dan menjadikan kesilapan melepaskan dua gol sebagai
pengajaran berguna sebelum turun menentang tiga lagi lawan dalam kumpulan iaitu
UAE, Thailand dan Vietnam.
"Kita tahu pemain-pemain yang ada masih muda bermain di peringkat
kempen kelayakan Piala Dunia ini. Saya pasti pemain sudah belajar sesuatu bukan
untuk dapat pengalaman saja.
"Mereka kena konsisten bermain di peringkat tertinggi dan saya pasti
pemain akan belajar sesuatu dan ini akan di bawa menentang UAE nanti,"
katanya.
Hasil kemenangan itu, skuad negara kini memimpin carta kumpulan selepas
satu lagi aksi membabitkan pertemuan antara Thailand dan Vietnam terikat tanpa
jaringan dengan UAE hanya akan mula beraksi bertemu Malaysia minggu depan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 4:39 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan