Isnin, 9 September 2019

Indonesia kena main di stadium berkecuali


POLIS menahan penyokong Indonesia yang cuba menyerang penonton
POLIS menahan penyokong Indonesia yang cuba menyerang penonton Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bung Karno, Jakarta Khamis lalu. -
Rozaidi Zulkifli

09 September 2019 8:25 AM

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Haramkan Stadium (Gelora) Bung Karno daripada menjadi venue perlawanan Indonesia!

Itu cadangan yang disuarakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila mengemukakan aduan mengenai insiden keganasan penyokong Garuda terhadap peminat Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis lalu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan yang melibatkan Indonesia selaku tuan rumah perlu diadakan di venue berkecuali jika FIFA bersetuju untuk tidak membuka Stadium Bung Karno bagi sebarang baki perlawanan Kumpulan G.


Jika tindakan itu dianggap terlalu ekstrem, hukuman ke­dua yang wajar dipertimbangkan badan bola sepak dunia tersebut adalah mengadakan semua baki perlawanan melibatkan skuad Garuda dalam stadium kosong.

“FAM mengadakan perbincangan bersama polis Indonesia dua kali sebulan sebelum perlawanan dan kali ketiga sebelum hari perlawanan, kami telah cuba yang terbaik tetapi ia (keganasan penyokong) masih berlaku.

“Di Bukit Jalil saya yakin perkara seperti ini tidak akan berlaku dan saya mohon kerjasama seluruh peminat agar bersikap profesional.

“Kalau tanya pendapat saya, elok FIFA menggantung Bung Karno (tidak bermain di situ atau stadium kosong) tapi FIFA ada garis panduannya dan perlu berlaku adil untuk semua sebelum membuat keputusan,” katanya selepas melihat latihan Harimau Malaya di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Menurut Hamidin, biarpun FAM tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Persa­tuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) tetapi aduan rasmi tetap dihantar kepada FIFA, Selasa ini.

Tegasnya, terlalu banyak kesalahan berlaku yang me­langgar syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan FIFA apabila sesebuah negara menjadi tuan rumah.

“Penyokong masuk padang, nyanyian tidak baik kepada pa­sukan dan penyokong pelawat, naik barracuda, perlawanan terhenti dan sebagainya, antara perkara yang melanggar peraturan FIFA.

“Benar... PSSI ada mengambil beberapa langkah seperti menaikkan harga tiket kerana mahu hanya penyokong berkualiti hadir ke stadium, tetapi kekecohan tetap berlaku.” ujarnya.

Dalam insiden Khamis lalu, penyokong Malaysia dibaling objek keras, suar, malah air kencing ketika menonton perlawanan yang menyaksikan Harimau Malaya menang 3-2.

Mereka juga dibaling batu ketika hendak memasuki stadium.
SUMBER-UTUSAN ONLINE 09 September 2019 8:25 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan