Jumaat, 6 September 2019

Kerjasama 'kunci' kejayaan Harimau Malaya


 BARISAN Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya ketika menentang
BARISAN Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya ketika menentang Indonesia. -FAM
07 September 2019 12:25 AM

KUALA LUMPUR 6 Sept.- Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli gabungan badan induk itu dan pasukan-pasukan kelab kerana telah memberikan sepenuh kerjasama dalam membantu ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe membentuk sebuah pasukan yang mantap dan terbaik bagi menghadapi kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula semalam.

Skuad Harimau Malaya telah bermula dengan langkah kanan apabila berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung Kumpulan G di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.


"Ahli-ahli gabungan FAM ini serta pasukan-pasukan kelab diharap dapat terus untuk memberikan kerjasama dan sokongan setiap kali khidmat para pemain mereka ini diperlukan oleh pasukan Harimau Malaya.

"Sudah tentu, sekali lagi saya perlu berterima kasih juga kepada Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mantan Presiden FAM kerana kejayaan yang kita kecapi pada hari ini datangnya daripada filosopi serta usaha baginda ketika menjadi Presiden FAM sebelum ini.

"Idea serta revolusi bola sepak yang diperkenalkan Tunku Ismail kini sudah mula menampakkan hasil menerusi kesinambungan yang dilakukan FAM termasuk pemilihan Cheng Hoe yang dibuat oleh baginda sebelum ini telah membuktikan bahawa ia adalah tepat kerana skuad Harimau Malaya kini semakin hari semakin meningkat prestasi dan persembahannya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi FAM, hari ini.

Dalam masa sama, Hamidin mengakui kehadiran pemain naturalisasi dan pemain berdarah campuran turut memberi impak positif kepada skuad negara hari ini.

"Kehadiran pemain naturalisasi dan pemain berdarah campuran, nampaknya telah membantu menambah kekuatan skuad Harimau Malaya menerusi gandingan yang cukup baik di antara mereka bersama barisan pemain tempatan sedia ada dan usaha memperkasakannya akan saya teruskan demi meningkatkan lagi kedudukan bola sepak negara kita.

"Apa pun, semua ini masih terlalu awal. Kita perlu bersedia dan lebih fokus untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang.

"Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan secara bersama oleh semua pihak yang terlibat dan usaha ini tidak boleh berhenti jika kita mahu melihat bola sepak Malaysia terus maju dan meningkat," ujarnya.SUMBER -UTUSAN ONLINE 07 September 2019 12:25 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan