OMAR Abdulrahman (kiri) bersama Bert Van Marwijk (dua dari kiri), Tan Cheng
Hoe (dua dari kanan) dan Brendan Gan dalam sidang akhbar perlawanan Malaysia
menentang UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/ZULFAIZ
ZAKARIA
09 September 2019 9:30 PM
KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kemenangan 10-0 yang dilakar ke atas Malaysia empat
tahun lalu hanya tinggal sejarah, apatah lagi skuad Harimau Malaya yang bakal
ditentang kali ini jauh lebih baik dan dibarisi muka baharu, kata bintang
tengah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Omar Abdulrahman.
Kata Omar, dia dan rakan-rakan pasukan percaya, bola sepak moden bergerak
dengan sangat pantas dan mereka sudah melihat betapa bagusnya skuad yang
dimiliki Malaysia ketika mengalahkan Indonesia 3-2 dalam aksi pembukaan, minggu
lalu.
“Kami sangat optimis untuk memenangi perlawanan ini dan mencari permulaan
yang baik, saya beri jaminan kami akan menyajikan permainan bola sepak terbaik
menentang Malaysia.
“Bagaimanapun, kemenangan 10-0 ke atas Malaysia sebelum ini adalah sejarah.
Ia tidak memberi sebarang makna lagi kepada pasukan,” kata Omar dalam sidang
akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Pengendali UAE, Bert van Marwijk pula mengakui, Harimau Malaya mempunyai
ramai pemain yang memiliki teknikal yang bagus dan pasukannya perlu lebih
berdisiplin jika tidak mahu dihukum dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala
Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil esok.
“Tidak pernah sesaat pun saya bercakap mengenai apa yang kami lakukan ke
atas Malaysia sebelum ini.
“Saya berada di Indonesia minggu lalu untuk melihat perlawanan Malaysia.
Mereka bermain dengan tenaga dan teknikal yang tinggi, malah pemain-pemain muda
Malaysia tampak berkeyakinan.
“Perlawanan esok pasti tidak mudah. Pemain kami kena bermain dengan
kesabaran tinggi dan yang penting perlu berdisiplin,” kata jurulatih dari
Belanda itu. SUMBER- UTUSAN ONLINE 09 September 2019 9:30 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan