Rabu, 11 September 2019

Tempo tak cukup laju - Cheng Hoe

 PEMAIN Harimau Malaya  kecewa tewas 1-2 kepada UAE dalam pelawanan
PEMAIN Harimau Malaya kecewa tewas 1-2 kepada UAE dalam pelawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI
11 September 2019 7:37 AM

KUALA LUMPUR 11 Sept - Gagal bertahan dengan baik dalam perlawanan berintensiti tinggi punca utama Harimau Malaya kalah tipis 1-2  kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/2023, malam tadi.

Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe percaya, anak-anak buahnya berpeluang untuk sekurang-kurangnya seri dengan pasukan No. 65 dunia itu, namun mereka gagal mengawal tempo permainan.


"Secara keseluruhan pemain menunjukkan persembahan yang hebat tetapi kami gagal mengawal tempo dan intensiti perlawanan.

"Pada separuh masa pertama, terutamanya dalam 20 minit pertama kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

"Pemain tahu mereka kena meningkatkan tempo dan bermain dengan penuh keterujaan kerana menentang  pasukan yang lebih baik. Setiap peluang yang dicipta perlu disempurnakan.

"UAE memperoleh dua peluang baik dan mereka menterjemahkannya kepada gol," katanya dalam sidang akhbar.

Menurut Cheng Hoe, Harimau Malaya perlu mempertingkatkan permainan untuk berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G di Hanoi pada  10 Oktober  depan.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi, Malaysia yang menghuni ranking ke-159 dunia berjaya mengejutkan UAE menerusi tandukan  Muhammad Syafiq Ahmad hanya 36 saat selepas perlawanan bermula.

Pasukan negara juga menguasai permainan dalam 30 minit pertama, tetapi kesilapan benteng pertahanan membolehkan UAE menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-43 menerusi Ali Ahmed Mabkhout.

Memasuki babak kedua, mereka gagal meneruskan momentum dan kealpaan pertahanan sekali lagi membenarkan Ali  merobek gawang Malaysia untuk kemenangan 2-1. SUMBER- UTUSAN ONLINE 11 September 2019 7:37 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan