Muhammad Zuhaily Badlishah
04 September 2019 3:00 AM
Pemain skuad Harimau Malaya bergambar di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta
semalam bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023
malam esok.
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menggesa barisan pemain
negara agar bersedia sepenuhnya menghadapi perang psikologi pasukan Indonesia
menjelang aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023
di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.
Menurut Cheng Hoe, 51, para pemain negara perlu mempersiapkan kekuatan
mental pada tahap tertinggi kerana skuad Harimau Malaya bukan sahaja bakal
‘diserang’ barisan pemain Indonesia, malah juga penyokong-penyokong tegar
skuad Sang Garuda tersebut sepanjang perlawanan itu nanti.
“Media sosial selalu menceritakan tentang perang psikologi daripada
Indonesia, tetapi saya selalu mengingatkan para pemain agar sentiasa fokus
kepada pasukan dan perlawanan kita sendiri.
“Pemain perlu tenang dan yakin, jangan terburu-buru untuk mengejar
kemenangan, sebaliknya memasuki padang dengan minda yang positif dalam usaha
kita meraih keputusan yang baik di sana.
“Saya juga berharap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sudah menguruskan
aspek keselamatan pemain negara dengan PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh
Indonesia) sebaik mungkin,” katanya sebelum berlepas ke Jakarta bersama pemain
Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Cheng Hoe pernah mempunyai kenangan manis di Stadium Utama Gelora Bung
Karno ketika membantu Malaysia menjulang gelaran Kejuaraan Piala Persekutuan
Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 2010 sebagai penolong kepada jurulatih, Datuk K.
Rajagobal.
Bagaimanapun, bekas pengendali Kedah itu merasakan cabaran yang akan
dilalui esok amat berbeza kerana ini adalah aksi kelayakan ke Piala Dunia
selain kelebihan Indonesia yang mempunyai ‘perisik’ dalam kancah Liga Malaysia
seperti pemain tengah Pahang, Saddil Ramdani.
“Apa pun lebih baik saya fokus kepada pasukan kita sendiri dan tidak
memikirkan mengenai pihak lawan. Kita ke sana dengan satu matlamat iaitu jika
mahu layak ke peringkat lebih tinggi, kita perlu lepasi halangan perlawanan
ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, skuad Harimau Malaya mendapat perkhabaran gembira apabila
Mohamadou Sumareh disahkan bebas daripada kecederaan dan sudah kembali
menjalani latihan penuh bersama rakan-rakan sepasukan pada sesi latihan
terakhir kelmarin.
SUMBER-KOSMO ONLINE 04 September 2019 3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan