06 September 2019 11:22 AM
Sumareh (kiri) menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-37 bagi menyumbang kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta semalam.
KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya perlu segera melupakan kemenangan manis 3-2 ke atas Indonesia, semalam, dan sebaliknya memberi fokus memburu kemenangan ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua Kumpulan G Pusingan Kelayakan Kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau berbangga dengan kejayaan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe membawa pulang tiga mata penuh pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi, namun meminta para pemain tidak terbawa-bawa dengan kemenangan tersebut.
"Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh anggota skuad Harimau Malaya daripada pengurus pasukan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, penolong pengurus Datuk Posa Majais, ketua jurulatih Tan (Cheng Hoe), barisan kejurulatihan dan pegawai serta yang paling utama para pemain yang telah menampilkan semangat juang tinggi sehingga ke penghujung permainan untuk kita berjaya mencapai misi dan sasaran membawa pulang tiga mata penuh dari Jakarta.
"Tapi kita tak boleh terlalu bergembira dan leka dengan kemenangan ini kerana ia baru permulaan dan banyak lagi cabaran dan halangan yang perlu kita hadapi jika ingin berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan juga pusingan seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2022,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook FAM, hari ini.
Pemain naturalisasi dari Gambia, Mohamadou Sumareh yang masuk ke padang selaku pemain gantian pada penghujung babak pertama perlawanan, menjadi wira skuad negara apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan dalam babak kedua.
Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 2-2, dengan penyerang Indonesia kelahiran Brazil, Alberto Goncalves membuka jaringan untuk skuad Garuda pada minit ke-12 sebelum Sumareh menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-37.
Goncalves yang beraksi dengan Madura United, kembali meletakkan Indonesia di hadapan pada minit ke-39, sebelum Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaya pada minit ke-65.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia mengakhiri kemarau kemenangan di kubu kuat skuad Garuda selepas kali terakhir Malaysia menewaskan Indonesia pada 2004, dengan jaringan 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki. - Bernama
SUMBER- KOSMO ONLINE 06 September 2019 11:22 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan