BERNAMA | | 31 Ogos 2019
Foto Bernama
PEMAIN tengah negara, Muhammad Danial Amier Norhisham mengakui tekanan
dihadapi menjejaskan penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan yang
menyaksikan Malaysia tewas 0-1 kepada Jordan pada aksi persahabatan
antarabangsa, malam tadi.
Pemain sensasi Felda United itu diturunkan dalam kesebelasan utama,
bergandingan dengan penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha, namun
gagal menghasilkan kombinasi yang baik sebelum dibawa keluar pada babak kedua
perlawanan.
Muhammad Danial menjelaskan, beliau terlampau memikirkan untuk tidak
membuat kesilapan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sehingga
menyebabkan beliau gagal mempamerkan aksi terbaik seperti ditampilkan dalam
saingan Liga Malaysia musim ini.
“Aksi bersama skuad kebangsaan di peringkat senior ini tahapnya sangat
berbeza, dan saya sendiri rasa tidak berpuas hati dengan persembahan malam ini.
Saya akui saya sangat gementar di awal 10-15 minit pertama.
“Tekanan amat tinggi dan tanggungjawab sangat berat, jadi saya terlampau
sangat fikir untuk membuktikan kemampuan selain elak daripada melakukan
kesilapan dan mungkin kerana itu membuat saya gementar di atas padang,” katanya
kepada pemberita selepas perlawanan, malam tadi.
Aksi berdepan Jordan itu merupakan platform terakhir buat ketua jurulatih,
Tan Cheng Hoe menilai tahap prestasi pemain sebelum melengkapkan senarai 23
pemain menghadapi Indonesia, dalam aksi pembukaan Kumpulan G saingan pusingan
kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis depan.
Pada aksi disaksikan lebih 14,000 penonton semalam, gol kemenangan Jordan
dijaringkan pemain tengah berusia 29 tahun Saeed Murjan seawal minit keenam,
untuk memberi motivasi positif menjelang aksi pembukaan Kumpulan B saingan
pusingan kedua kelayakan menentang Taiwan.
Dalam pada itu, Muhammad Danial berkata kepercayaan diberikan Cheng Hoe itu
memberinya satu pengalaman baharu, yang akan lebih membakar semangatnya untuk
terus berusaha meningkatkan mutu serta kualiti permainan.
Katanya, jika tidak terpilih untuk dibawa ke Jakarta bagi aksi di Stadium
Gelora Bung Karno, beliau akan lebih bekerja keras untuk membuktikan
kemampuannya, agar dapat terus kekal di dalam skuad kebangsaan.
“Semuanya saya serahkan dekat jurulatih, sebab dia yang buat keputusan.
Kalau tidak terpilih, saya akan bekerja lebih kuat...kita tidak tahu apa akan
jadi pada waktu akan datang, mungkin saya boleh jadi seorang pemain yang lebih
baik,” tambah beliau.- Bernama
SUMBER-ArtikelPenuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/45767/BERITA/Sukan/Tekanan-jejas-aksi-sulung-Muhammad-Danial©
2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan