Sabtu, 7 September 2019

Malaysia lebih baik berbanding dulu


 MATTHEW DAVIES yakin Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif
MATTHEW DAVIES yakin Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif menentang UAE pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
07 September 2019 9:26 PM

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies antara pemain dalam skuad negara yang tewas 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mengakui perkara itu masih berada dalam ingatannya.

Bagaimanapun, pertahanan Pahang itu menegaskan, skuad negara kali ini jauh berbeza daripada empat tahun lepas dan dia yakin Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif menjelang aksi berdepan UAE dalam perlawanan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil, Selasa ini.


“Saya masih ingat aksi itu dan ia merupakan kali pertama saya mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan. Ketika itu saya berada di bangku simpanan dan melihat perlawanan tersebut.

“Tetapi sekarang saya bermain dengan pasukan yang memiliki pemain berbeza. Saya rasa dengan barisan pemain muda dan corak permainan berbeza diterapkan jurulatih, kita mampu lakar keputusan positif.

“Kami akan turun ke padang untuk mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri. Saya tahu kita perlu positif dan realistik apabila bertemu pasukan di ranking jauh lebih tinggi daripada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Davies juga percaya tiada yang mustahil untuk dilakukan seperti mana Harimau Malaya menamatkan kemarau 15 tahun menewaskan Indonesia di Gelora Bung Karno. – SUMBER UTUSAN ONLINE 07 September 2019 9:26 PM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan