Harimau Malaya mampu menang
MyMetroArena
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
BEKAS penyerang kebangsaan, Azman Adnan optimis skuad Harimau Malaya boleh menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdasarkan peningkatan persembahan serta kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penyokong.
Menurutnya, diakui UAE adalah pasukan hebat dan berada di ranking lebih baik berbanding skuad Harimau ketika ini.
"Namun, malam esok perlawanan adalah berbeza, umpama perlawanan akhir juga kerana Malaysia amat memerlukan kemenangan atau sekurang-kurangnya keputusan seri.
"Bermain di laman sendiri saya yakin kehadiran penyokong Utras Malaya dan rakyat Malaysia yang akan menjadi pemain ke-12 untuk memberi semangat dan motivasi, pemain akan berjuang sehingga wisel penamat seterusnya mencipta kemenangan.
"Saya sendiri menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Indonesia tempoh hari dan tabik hormat pemain Malaysia yang tunjukkan semangat juang tinggi untuk negara.
"Bukan senang bermain di Stadium Utama Gelora Bung Karno dengan suasana provokasi penyokong. Tapi mereka bermain seperti 'berperang' sehingga menjaringkan gol di minit akhir perlawanan," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.
Untuk rekod, selepas tewas 0-10 kepada UAE pada aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 3 September 2015, skuad negara bangkit dan tewas tipis 1-2 kepada skuad sama di Stadium Shah Alam dalam aksi timbal balik pada 17 November 2015 walaupun tanpa penonton.
Azman dalam pada itu mengingatkan pemain negara supaya tidak sentiasa fokus terhadap permainan dan mengelakkan dibolosi awal oleh anak didik Bert van Marwijk itu.
"Kepada pemain Harimau Malaya teruskan rentak kemenangan dan cuba yang terbaik. Jangan terlalu ghairah bermain di gelanggang sendiri dan sentiasa fokus terutama bahagian pertahanan.
"Jika boleh elak gol awal. Tapi Insya-Allah pemain akan bersemangat, ghairah dan beri 200 peratus kerana bermain di laman sendiri di hadapan puluhan ribu penyokong setia," katanya.
Menurutnya, dia tidak berhasrat mengulas taktikal dipraktikkan Tan Cheng Hoe kerana yakin dan hormat dengan pengalaman dimiliki ketua jurulatih berasal dari Kedah itu.
"Beliau (Cheng Hoe) lebih mengetahui pemainnya, bila hendak dimasukkan dan siapa akan bermain dan sebagainya.
"Selaku bekas pemain negara, saya hormat beliau sudah melakukan yang terbaik di peringkat antarabangsa.
"Sudah pasti esok stadium akan dipenuhi peminat setia bola sepak negara untuk beri sokongan kepada pasukan kebangsaan. Bukan saja di stadium malah seluruh negara.
"Saya sendiri sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan pemain Harimau Malaya. Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sendiri mendapat pujian Yang di-Pertuan Agong.
"Bermaksud beliau memainkan peranan amat baik dalam FAM setakat ini untuk memimpin kejayaan pasukan kebangsaan," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan turut menegaskan bukan mustahil untuk Harimau Malaya menewaskan skuad 'The Whites' melalui peningkatan mutu permainan dipamerkan sekarang.
"Dari segi pengalaman, UAE berada dalam keadaan terbaik ketika ini. Apatah lagi pemain mereka lama bermain bersama dan serasi.
"Pemain kebangsaan kita pula masih baru, namun tahap keyakinan mereka bagus ketika bermain dengan Indonesia tempoh hari.
"Kita perlu berada dalam tahap memberangsangkan kerana UAE sebuah pasukan yang baik. Tidak mustahil dapat keputusan memihak kepada kita," katanya.
Beliau berkata, jika Harimau Malaya catat keputusan seri dengan UAE sudah memadai dan satu kejayaan untuk negara.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:01 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan