Khamis, 19 September 2019

Malaysia ‘makan besar’ belasah Kemboja 7-0


 PEMAIN tengah skuad Bawah 16 negara, Adam Uwais mudah menyempurnakan
PEMAIN tengah skuad Bawah 16 negara, Adam Uwais mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pendahuluan Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan J Kelayakan Piala AFC B-16 2020.-Facebook FAM
18 September 2019 9:34 PM

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Skuad Bawah 16 (B-16) tahun negara bermula dengan langkah kanan pada aksi pembukaan Kumpulan J, Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-16 apabila membelasah Kemboja 7-0 di ­Stadium Nasional, Vientiane, Laos, sebentar tadi.

Masih segar dengan kejayaan mendakap Piala AFF bawah 15 tahun (B-15), Ogos lalu, anak buah P. Maniam membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Adam Uwais Armi.


Pertahanan kiri negara, Adam Farhan Faizal menggandakan jaringan buat skuad negara pada minit ke-16 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.

Tidak cukup dengan itu, penyerang negara, Akid Zamri meledakkan dua gol dalam tempoh enam minit masing-masing pada minit ke-22 dan ke-30 untuk menutup babak pertama, Malaysia selesa mendahului 4-0.

Bersambung babak kedua, anak buah P.Maniam hanya memerlukan tujuh minit untuk memperolehi gol kelima hasil jaringan Harry Danish Haizon.

Pesta gol negara, diteruskan menerusi ledakan Nabil Qayyum pada minit ke-64 dan Khairil Mohd. Zain menutup malam gemilang Malaysia dengan gol ketujuh pada minit akhir perlawanan.

Kemenangan itu, menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan J mengatasi Jepun menerusi kelebihan jaringan.

Jepun yang bermain lebih awal daripada skuad negara turut melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Laos.

Malaysia diletak dalam Kumpulan J bersama dua lagi negara iaitu tuan rumah, Laos dan Jepun. SUMBER- UTUSAN ONLINE 18 September 2019 9:34 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan