HM Digital
PENINGKATAN ranking skuad Harimau Malaya menunjukkan bahawa skuad kendalian
Tan Cheng Hoe kini berada pada landasan tepat untuk kembali meletakkan nama
Malaysia di pentas antarabangsa seperti yang pernah dikecapi ketika era 1970-an
dan 1980-an.
Lonjakan ketara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)
daripada kedudukan 178 dunia pada Mac 2018 kepada 158 ketika ini menunjukkan
peningkatan terutamanya selepas Cheng Hoe dilantik selaku ketua jurulatih pada
Disember 2017.
Disember tahun lalu adalah kemuncak kepada perubahan besar itu apabila
Malaysia hampir mendakap Piala AFF buat kali kedua selepas 2010 namun hajat itu
dihalang Vietnam di pentas final yang menyaksikan skuad Naga Emas itu menang
3-2 secara agregat.
Cheng Hoe ketika dihubungi mengaku gembira dengan prestasi semasa pasukan
dan beliau menegaskan kejayaan itu hadir di atas semangat kerjasama kuat antara
pemain, barisan kejurulatihan dan juga pengurusan tertinggi, Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM).
“Kita nampak lebih banyak positif daripada negatif dan itu yang kita nak
lihat. Sudah pasti ranking itu satu daripada sasaran kita, tetapi dalam masa
sama kita kena lihat keseluruhan persembahan pasukan dalam setiap perlawanan,”
katanya.
Dalam kemas kini terbaru yang dikeluarkan FIFA, Khamis lalu, skuad negara
naik satu anak tangga daripada 159 sebelum ini.
Kenaikan itu susulan kemenangan 3-2 Harimau Malaya ke atas Indonesia dalam
aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, meskipun selepas itu tewas
kepada UAE (kelayakan Piala Dunia) dan Jordan (aksi persahabatan kelas A).
Malaysia meraih pertambahan 5.694 mata hasil keputusan tiga perlawanan itu
menjadikan jumlah kutipan mata secara keseluruhannya adalah 1,015.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:31 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan