Ahad, 1 September 2019

Sumareh sudah kembali

 MOHAMADOU Sumareh (kanan) dan Muhammad Akhyar Rashid berlatih
MOHAMADOU Sumareh (kanan) dan Muhammad Akhyar Rashid berlatih bersama Harimau Malaya di Padang MSN, Bukit Jalil hari ini dalam persiapan menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - BERNAMA
01 September 2019 10:22 PM

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Malaysia menerima khabar gembira menjelang pertemuan dengan Indonesia pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 minggu depan selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh mula turun berlatih bersama skuad negara hari ini.

Pemain kelahiran Gambia berusia 24 tahun itu, sebelum ini mengalami kecederaan pangkal paha dan tidak beraksi pada dua perlawanan Piala Malaysia serta perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.


Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, bagaimanapun, berkata beliau akan terus memantau perkembangan kecederaan pemain berkenaan sebelum aksi pembukaan Kumpulan G itu di Stadium Bung Karno, Jakarta, Khamis ini.

“Saya sedang memantau perkembangan Sumareh dan nampaknya beliau menunjukkan tanda positif untuk pulih. Kita harap beliau pulih sepenuhnya sebelum perlawanan dengan Indonesia nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe yakin pemain skuad Harimau Malaya sudah bersedia menyerap tekanan penyokong skuad Garuda apabila beraksi di tempat lawan nanti.

Pengendali berusia 51 tahun itu menjelaskan kebanyakan 24 pemain yang dipilih ke Jakarta sudah biasa beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong dan yakin mereka tidak berdepan masalah untuk mempamerkan prestasi terbaik bagi membawa pulang tiga mata sulung.

Sementara itu, Sumareh berkata, dia tidak sabar untuk kembali semula bagi perlawanan menentang Indonesia selepas menunjukkan tanda baik pemulihan kecederaan pangkal paha.

“Saya harap untuk beraksi semula dengan secepat mungkin setelah terlepas dua perlawanan Piala Malaysia dan kekalahan 0-1 dengan Jordan pada perlawanan persahabatan itu,” katanya.

“Bermain dengan Indonesia di hadapan ribuan penyokong tuan rumah bukan mudah dan sudah pasti ia sengit tetapi saya yakin dengan rakan sepasukan untuk memperoleh keputusan positif,” katanya.

Selepas pertemuan dengan Indonesia, Malaysia akan berdepan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kedua kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, 10 September ini. – BERNAMA
SUMBER-UTUSAN ONLINE 01 September 2019 10:22 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan