Rabu, 11 September 2019

Harimau Malaya kalah melawan

 PENJAGA gol Harimau Malaya, Farizal Marlias gagal menepis jaringan
PENJAGA gol Harimau Malaya, Farizal Marlias gagal menepis jaringan pemain UAE, Ali Ahmed Mabkhout dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
10 September 2019 10:38 PM

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Gol Syafiq Ahmad seawal minit pertama gagal membantu pasukan Harimau Malaya melakar kemenangan apabila tewas tipis 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Beraksi di depan 43,000 penyokong sendiri, Harimau Malaya bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi tandukan Syafiq selepas menerima hantaran lintang cantik Matthew Davies daripada sebelah kiri gawang UAE.


Anak buah Tan Cheng Hoe terus menguji benteng pasukan pelawat, kali ini menerusi rembatan Davies pada minit keenam namun berjaya ditepis keluar penjaga gol UAE, Khalid Eisa Bilal.

Jentera serangan negara terus mengasak benteng pertahanan pelawat dan Syafiq hampir meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-13 namun tampanan dalam kotak penalti menyaksikan bola sekadar melintasi tiang gol pasukan diranking ke-65 dunia itu.

Di sebalik kegairahan pasukan Harimau Malaya menyerang, UAE memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi penyerangnya, Ali Ahmed Mabkhout namun ketangkasan Farizal Marlias berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Gol yang dicari UAE akhirnya diperolehi pada minit ke-43 hasil tandukan Ali selepas menerima hantaran lintang pertahanan kanan, Mohamed Saleh Almenhali.

Bersambung babak kedua, kedudukan bola lebih banyak berlegar ditengah padang berbanding babak pertama yang menyaksikan Malaysia lebih banyak melakukan serangan ke bentang UAE.

Penyerang sensasi pelawat itu, Ali sekali lagi muncul penjaring buat pasukannya pada minit ke-75 apabila memanfaatkan kesilapan pertahanan negara, Shahrul Saad yang gagal menampan kemas bola hantaran jauh Khalid sebelum melakukan larian deras dan menolak mudah melepasi jangkuan Farizal.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia kembali mengatur gerakan dan hampir menyamakan kedudukan namun rembatan kencang Safawi Rasid sekadar menggegar tiang pada minit ke-79.

Anak buah Cheng Hoe terus melakukan serangan bertali arus ke kubu UAE sehingga memaksa barisan pertahanan pelawat namun gagal menemui sentuhan penyudah.

Dalam satu lagi perlawanan menyaksikan Thailand melakar kemenangan 3-0 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. SUMBER- UTUSAN ONLINE  10 September 2019 10:38 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan