MyMetroArena
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
PERSATUAN Bolasepak Malaysia
(FAM) memberi tempoh sehingga esok kepada dua pemain Pahang, Nor Azam Abdul
Azih dan Matthew Davies untuk melaporkan diri bersama skuad bawah 23 tahun
(B-23) negara.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd
Yusoff Mahadi menjelaskan, pihaknya akan menganggap dua pemain itu tidak
berminat bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke Sukan Asia
Jakarta-Palembang bulan depan sekiranya gagal melaporkan diri sebelum pasukan
memulakan latihan 5 petang esok.
Beliau bagaimanapun akan menghubungi
Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mendapatkan penjelasan mengenai
status Azam dan Matthew kerana dua lagi pemain Tok Gajah, Faisal Abdul Halim
dan R Kogileswaran sudah melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat di
Wisma FAM, hari ini.
“Hari ini kita dapat lihat 25
daripada 28 pemain yang dipanggil jurulatih sudah melaporkan diri dan seorang
lagi (Hadi Fayyadh Abdul Razak) sudah mengesahkan akan lapor diri esok.
Maknanya hanya dua pemain lagi tidak hadir.
“Kalau ada surat atau sudah
dimaklumkan secara rasmi kita boleh katakan mereka tak akan datang (ke kem
latihan pusat), tapi setakat ini tiada surat rasmi dan kita anggap mereka gagal
melaporkan diri pada hari pertama latihan.
“Kita menyusun pemain ini untuk
aksi persahabatan di China (5 Ogos ini), jadi kita kena siapkan proses
dokumentasi untuk ke sana selewat-lewatnya pada Khamis atau Jumaat ini,”
katanya kepada pemberita ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari
ini.
Biarpun ketiadaan Azam dan
Davies, kehadiran hampir keseluruhan pemain yang dipanggil jelas melegakan Kim
Swee selepas timbul spekulasi sebelum ini yang mengatakan beberapa pasukan
enggan melepaskan pemain mereka kerana Sukan Asia bertembung dengan aksi Piala
Malaysia.
Sementara itu, Kim Swee enggan
memikirkan mengenai ketiadaan Azam dan Davies, sebaliknya lebih fokus dalam
mempersiapkan pasukannya dengan pemain yang sedia ada.
“Terpulang kepada pihak
pengurusan untuk menyelesaikan perkara itu dan yang penting saya harus fokus
terhadap pemain sedia ada daripada memikirkan yang tidak hadir.
“Saya ada Daniel Amier Norhisham,
Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, saya akan lihat sama ada mereka
boleh berada dalam skuad utama atau tidak. Kita hanya ada dua atau tiga hari
latihan dan jika tak hadir esok, bermakna mereka tidak berminat,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:17 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan