MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Cadangan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membuka pintu kepada pemain naturalisasi beraksi
bersama skuad kebangsaan masih lagi di peringkat awal.
Namun, nama pemain yang harus
berada dalam senarai pengurusan skuad Harimau Malaya ketika ini sudah pastinya
pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.
Pemain berusia 23 tahun itu sudah
mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu dan memiliki rekod cemerlang
dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.
Sumareh yang kini mewakili Pahang
dan membantu skuad Tok Gajah merangkul Piala FA pada 7 Julai lalu mengakui
bersedia untuk dipanggil pengendali Tan Cheng Hoe khususnya bagi kempen Piala
AFF November nanti.
“Jika saya mendapat tawaran
mewakili skuad kebangsaan, ia satu penghormatan dan akan cuba membantu sedaya
upaya saya,” kata penyerang itu.
Sumareh berkata, dia sudah
menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak
profesional empat tahun kemudian.
Justeru, dia menganggap Malaysia
sebagai ‘rumah pertamanya’.
“Saya membesar di sini, karier
bola sepak saya juga bermula di sini, mungkin ada pemain luar yang dipanggil
beraksi dengan skuad kebangsaan hanya sekejap berada di sini tapi saya sudah
lama.
“Jadi jika ada orang cakap pemain
naturalisasi tidak ada semangat pada saya ia tidak tepat. Jika saya
mensia-siakan peluang ini, saya bukan saja mengkhianati Malaysia, tapi
mengkhianati diri saya sendiri.
“Saya memberikan komitmen 100
peratus bila bersama kelab, kenapa saya tak boleh beri 120 peratus komitmen
bersama pasukan kebangsaan.
Dan saya tahu tekanan sebagai
pemain naturalisasi pasti berat tapi saya adalah pemain yang sentiasa mahukan
cabaran. Tekanan akan membuatkan saya lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, hanya pemain
berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan antaranya Matthew Davies
(Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka
United).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 23 Julai 2018 @ 6:23 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan