Jumaat, 13 Julai 2018

[VIDEO] Pemain tidak trauma - Hodak


 Raikan kemenangan Malaysia
PEMAIN skuad bawah 19 tahun kebangsaan meraikan kemenangan ke atas Indonesia sekali gus mara ke perlawanan akhir menentang Myanmar esok. - UTUSAN ONLINE
Fadhilul Izmel Ishak

13 Julai 2018 6:11 PM

KUALA LUMPUR 13 Julai - Walaupun berdepan detik cemas apabila dilontar objek oleh penyokong Indonesia selepas tamat perlawanan separuh akhir Piala AFF Bawah 19 (B-19) menentang Indonesia namun Bojan Hodak menegaskan anak-anak buahnya tidak mengalami kecederaan dan trauma.

Jurulatih skuad B-19 negara itu berkata pemainnya berada dalam keadaan baik malah teruja untuk menghadapi Myanmar dalam aksi final kejohanan di Stadium Gelora Delta Sidoario, Indonesia, esok.

“Tiada sesiapa pun mengalami kecederaan ekoran daripada insiden tersebut dan mereka juga tidak trauma meskipun diserang oleh penyokong sebaliknya mereka bersorak ketika berada di bilik persalinan.

“Apabila anda menang, semuanya akan menjadi manis sahaja,” kata Hodak ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pasukan B-19 negara diserang oleh penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati apabila skuad Garuda Muda tewas 3-2 dalam penentuan penalti 3-2 di tangan Malaysia setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Gelora Delta Sidoario, semalam.

Pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu. - UTUSAN ONLINE

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/video-pemain-tidak-trauma-hodak-1.708383#ixzz5LBeTZeHg
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan