Kejuaraan Piala AFF B-19 tingkat
motivasi bagi harungi kempen Piala AFC 2018
Mohamad Firdaus Abdullah
16 Julai 2018 3:00 AM
PARA pemain muda negara meraikan
kejayaan bergelar juara pada peringkat ASEAN sejurus tiba di KLIA, Sepang
semalam selepas mengharungi kempen AFF B-19 di Surabaya, Indonesia.
JURULATIH skuad remaja negara,
Bojan Hodak menganggap kemenangan dramatik 4-3 ke atas Myanmar seterusnya
menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bawah 19 tahun (B-19)
sebagai pembakar semangat untuk mengharungi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) 2108 di Indonesia bermula 18 Oktober hingga 4 November depan.
“Ia adalah kemenangan yang sangat
bermakna dan penting sebagai persediaan bagi menghadapi Piala AFC.
“Meskipun kami dilihat sebagai
pasukan underdog untuk kejohanan akan datang tetapi saya harap kejayaan kali
ini sebagai pembakar semangat kepada pemain untuk berdepan pasukan yang lebih
hebat
pada saingan AFC nanti,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur, Sepang semalam.
Dalam aksi final di Stadium
Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya kelmarin kelekaan barisan pertahanan negara
membawa padah apabila Myanmar mencipta kejutan dengan meledak tiga gol dalam
tempoh tujuh minit Win Naing Tun dan Myat Kaung Khant.
Skuad remaja negara sebelum itu
telah mendahului dua gol pada awal perlawanan menerusi jaringan Awang Muhamamd
Faiz dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.
Bagaimanapun, pasukan kebangsaan
mula menemui rentak pada babak kedua selepas berjaya kembali menyamakan
kedudukan menerusi jaringan Shivan Pillay Asokan pada minit ke-75 sebelum Nik
Akif melengkapkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada waktu
kecederaan, sekali gus menamatkan penantian Malaysia untuk menjulang trofi
berkenaan sejak 16 tahun lalu.
Sementara itu pembantu jurulatih,
Hairuddin Omar berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh skuad
negara kerana Malaysia sudah lama menantikan untuk menjulang piala tersebut.
“Meskipun skuad negara dilayan
dengan teruk oleh penyokong Indonesia sebelum ini, namun semangat yang
ditunjukkan mereka tidak luntur, malah beraksi dengan lebih bersemangat di
pentas final.
“Saya melihat keazaman pemain
untuk melakar sejarah sangat terserlah kerana mereka telah menunjukkan
kesungguhan yang amat baik untuk bangkit pada babak kedua perlawanan.
“Pada masa sama, saya merasakan
kejayaan ini adalah hadiah buat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul
Rahman serta Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd.
Amin sebagai pemangkin semangat untuk mereka terus menerajui bola sepak negara
pada masa akan datang,” ujarnya.
Keputusan perlawanan tersebut
menyaksikan skuad kebangsaan berjaya menamatkan penantian selepas lima kali
hanya menjadi naib juara dan kali terakhir pada tahun lalu apabila tewas 0-2
kepada Thailand di pentas final untuk kejohanan yang sama di Myanmar.
SUMBER-KOSMO ONLINE 16 Julai 2018
3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan