AIDIL ZAFUAN ABDUL RADZAK (KIRI)
diperlukan oleh Ong Kim Swee untuk menerajui barisan pertahanan skuad negara
yang akan bersaing dalam Sukan Asia.
Fadhilul Izmel Ishak
sukan@utusan.com.my19 Julai 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 18 Julai - Jurulatih
skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan Aidil Zafuan
Abd. Radzak, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali untuk memenuhi kuota pemain
lebih umur bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 14 Ogos hingga 1
September ini.
Berdasarkan senarai nama pemain
dipanggil, Kim Swee mengekalkan 17 pemain yang membawa Malaysia mencipta
sejarah mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China pada Januari lalu.
Empat pemain baharu disenaraikan
terdiri daripada Syafiq Ahmad, Faisal Abdul Halim, Rodney Celvin Akwensivie dan
Khatul Anuar Md. Jalil. Mereka akan memulakan latihan di Wisma FAM bermula 30
Julai ini.
“Saya melihat Baddrol sebagai
seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di banyak posisi, Aidil pula
kepimpinan dan pengalamannya diperlukan bagi mengemudi barisan pertahanan
manakala Rizal boleh beraksi di pertahanan kanan dan sayap kanan serta juga
merupakan pemain yang berpengalaman.
“Selepas melapor diri di Wisma
FAM pada 30 Julai, kami akan ke Changzhou, China pada 2 Ogos bagi menghadapi
perlawanan persahabatan dengan China B-23 pada 5 Ogos dan kembali ke tanah air
pada 6 Ogos.
“Kemudian kami akan meneruskan
kem latihan di Wisma FAM dan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan
menentang Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos. Jika mengikut jadual
asal Sukan Asia 2018, kami akan terbang ke Indonesia pada 12 Ogos sebelum
perlawanan pertama yang dijadual pada 14 Ogos.
“Senarai 24 pemain yang saya
pilih ini adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam Liga Super dan Liga
Premier, selain penilaian ketika kem latihan skuad B-23 kebangsaan sebelum ini
serta prestasi pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng
Hoe,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kim Swee turut menyenaraikan enam
pemain sebagai langkah bersedia jika ada mana-mana pemain yang mengalami
kecederaan pada saat akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-bawa-aidil-baddrol-rizal-ke-sukan-asia-1.711701#ixzz5LghCVMQJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan