Sabtu, 14 Julai 2018

Hanya tiga hari siapkan juara - Hodak

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan AFF B-19
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan AFF B-19 selepas mengalahkan Myanmar 4-3 di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya hari ini. - SPORTFLEX
Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir
14 Julai 2018 11:09 PM
KUALA LUMPUR 14 Julai - Walaupun hanya mempunyai masa tiga hari untuk melakukan persiapan, namun skuad muda negara berjaya melepasi segala rintangan bagi memahat sejarah muncul juara Kejohanan AFF Bawah 19 (B-19) buat kali pertama selepas menewaskan Myanmar 4-3 di Surabaya, Indonesia hari ini.

Selain tempoh persiapan yang singkat, anak-anak buah Bojak Hodak sebelum ini turut berdepan ujian getir apabila diserang oleh penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati selepas Malaysia menyingkirkan Indonesia pada separuh akhir kelmarin.


“Walaupun kami hanya mempunyai masa tiga hari untuk menyiapkan diri menghadapi kejohanan ini tetapi saya selalu mengingatkan pemain apa yang perlu mereka lakukan dari sudut taktikal,

“Lapan belas orang daripada pemain ini telah bersama saya sejak tahun lalu,” kata Hodak kepada Utusan Malaysia.

Bagi kapten Malaysia, Muhammad Syaiful Alias, tiada apa yang lebih membanggakan melihat pasukan negara bangkit daripada ketinggalan untuk meledak gol penyamaan serta kemenangan di hujung permainan.

“Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini, walaupun kami ketinggalan namun kami berjaya membuat kebangkitan dan seterusnya menjadi juara buat kali pertama.

“Ini adalah hadiah buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Delta Sidoarjo - venue yang sama pemain negara di­serang dengan botol dan batu oleh penyokong Indonesia pada separuh akhir, Nik Akif Syahiran Nik Mat meledak gol kemenangan pada waktu kecederaan.

Terdahulu, Muhamad Awang Faiz meletakkan Malaysia di depan seawal minit ketiga, sebelum Nik Akif Syahiran menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-19.

Begitupun, Myanmar membalas dengan tiga gol menerusi Win Naing Tun pada minit ke-24, Myat Kaung Khant (minit ke-27) dan ke-31.

Ketika permainan tinggal 14 minit untuk ditamatkan, Shivan Asokan menyamakan kedudukan 3-3, sebelum Nik Akif Syahiran meledak gol yang amat dinantikan.

Kejayaan anak-anak buah Hodak itu berjaya mengatasi pencapaian terbaik mereka sebelum ini - muncul naib juara lima kali.

Sementara itu, penaja pasukan bola sepak Malaysia, Yakukt (M) Sdn. Bhd. merakamkan ucapan tahniah kepada skuad B-19 negara atas kejayaan yang dilakar di Indonesia.

Pengeluar ,inuman Probiotik terkemuka dunia itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu lembaran baru kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

“Kami ingin menzahirkan ucapan kepada seluruh kem Malaysia atas kemenangan malam ini. Ini merupakan ssejarah baharu kepada pasukan bola sepak tanah air dan sebagai penaja kepada pasukan ini, kami merasa amat bangga dengan kejayaan ini.

“Kami telah membawa dan menaja pasukan ini bagi menyertai Kejohanan Piala Sanix di Fukoka Jepun pada Mac lalu sebagai salah satu persiapan bagi kejohanan ini, dan saya bersyukur ia dapat membantu kepada kejuaraan pada kali ini,” kata Yakult dalam satu kenyataan. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hanya-tiga-hari-siapkan-juara-hodak-1.709209#ixzz5LFICNxKx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan