Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
PERSATUAN Bolasepak Malaysia
(FAM) hari ini sedia mengkaji cadangan untuk membenarkan pemain naturalisasi
mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Perkembangan itu dimaklumkan
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui cadangan menaturalisasikan
pemain luar dengan memberi kerakyatan negara ini dilihat menjadi alternatif
terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan seperti yang
dilakukan oleh Filipina.
Bagaimanapun, Hamidin menegaskan
cadangan itu masih di peringkat awal dan banyak lagi ‘kerja’ yang perlu
dilakukan dalam usaha memastikan cadangan itu dapat direalisasikan.
“Perkara ini akan dibentangkan
dalam jawatankuasa pasukan kebangsaan dan perlu diperhalusi kerana ia
memerlukan komitmen kerajaan dan juga komitmen dengan negara lain. Sebagai
contoh, pemain yang sesuai untuk dinaturalisasikan adalah pemain dari Brazil
dan juga benua Afrika.
“Di sini, kita perlu berbincang
dengan banyak pihak termasuk kerajaan dan juga Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Selepas lama berada dalam bola sepak, saya melihat ini adalah salah satu cara
untuk melonjakkan kembali bola sepak negara seperti dilakukan Filipina.
“Ini adalah cetusan idea yang
sememangnya saya impikan. Apapun, ia perlu dibahaskan dalam mesyuarat
jawatankuasa dan sudah tentu perkara ini akan mengambil masa.
“Jika semuanya berjalan lancar,
kita akan laksanakannya tetapi masih ada proses yang perlu difikirkan selepas
ini,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Presiden FAM dan EXCO
bersama penyokong bola sepak negara di ibu negara, hari ini.
Sebelum ini, badan induk itu
hanya memberi ‘lampu hijau’ kepada pemain berdarah campuran yang memiliki
hubungan susur galur di Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
Antara pemain berdarah campuran
yang sudah mewakili skuad kebangsaan termasuk Matthew Davies (Pahang), Natxo
Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).
Sumber-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 21 Julai 2018 @ 5:25 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan