Jumaat, 13 Julai 2018

Indonesia beri jaminan keselamatan kepada pemain B-19 negara


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd. Amin.
13 Julai 2018 3:58 PM

KUALA LUMPUR 13 Julai- Pihak tuan rumah Indonesia berjanji untuk memperketatkan kawalan keselamatan ke atas pemain skuad bawah 19 tahun negara (B-19) berikutan insiden mereka diserang penyokong tempatan selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan jaminan tersebut, yang tidak mahu keganasan seumpama itu berulang kembali apabila anak buah Bojan Hodak turun beraksi di final menentang Myanmar esok.

“Saya telah menghubungi Naib Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan selaku pengurus pasukan B-19 kebangsaan dan juga pegawai-pegawai pasukan kita di Surabaya, Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung insiden yang berlaku.

“Berdasarkan maklumat diterima, terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.

“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami pemain dan pegawai pasukan B-19 kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Insiden itu tercetus apabila penyokong Indonesia tidak berpuas hati apabila skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.

Jelas Hamidin, berkata pihak tuan rumah memohon maaf atas insiden yang berlaku namun pihak FAM masih menunggu laporan perlawanan sebelum tindakan susulan dibuat.

“Susulan insiden itu, saya telah menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono dan beliau berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan.

“Joko Driyono sebagai mewakili PSSI turut meminta maaf di atas insiden yang tidak diingini itu.

FAM akan menunggu laporan daripada Match Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya berhubung insiden ini. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/indonesia-beri-jaminan-keselamatan-kepada-pemain-b-19-negara-1.708335#ixzz5LBF4nIjG
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan