Jumaat, 13 Julai 2018

'Cukup, cukuplah naik juara'


Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my
 
SKUAD bawah 19 tahun Malaysia (B-19) tidak rela kempunan lagi dan yakin mampu menewaskan Myanmar pada aksi final Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 (Piala AFF B-19) di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia, malam esok.

Biarpun masih dihantui insiden diserang penyokong tuan rumah selepas mereka menewaskan Indonesia 3-2 menerusi sepakan penalti berikutan terikat 1-1 pada aksi sebenar semalam, Kapten B-19 Malaysia, Muhammad Syaiful Alias, menegaskan mereka kini sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk membaham Myanmar.

Malah, bagi Syaiful misi membawa pulang Piala AFF B-19 bukan satu perkara mustahil kerana mereka pernah menjinakkan Myanmar 1-0 dalam saingan peringkat Kumpulan B di stadium sama, sebelum ini.

“Kami memang berasa sedikit gemuruh apabila bermain di hadapan lautan ribuan penyokong Indonesia yang pastinya akan menyokong Myanmar selepas Malaysia menewaskan tuan rumah menerusi sepakan penalti semalam.

“Namun, saya percaya kami mampu mengatasi masalah berkenaan kerana sudah dilatih dan dibimbing oleh jurulatih Bojak Hodak untuk berhadapan dengan situasi sedemikian.

“Jurulatih juga mengingatkan kami supaya tidak mengendahkan segala provokasi dibuat penyokong tuan rumah dan pemain Myanmar kerana apa yang paling penting kami perlu membawa pulang Piala AFF B-19 ke Malaysia,” katanya.

Malaysia bakal berdepan dengan juara dua kali Myanmar (2003, 2005) dalam final malam esok untuk rekod, pasukan B-19 negara tidak pernah merangkul gelaran juara selepas lima kali (2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017) muncul sebagai naib juara.

Pemain tengah skuad B-19 Malaysia, Muhamad Nizarudin Jazi, biarpun masih terkejut dengan kejadian serangan penyokong Indonesia malam tadi, namun tonggak Skuad Piala Belia Melaka berkenaan tetap berjanji akan bermain bermati-matian untuk membawa pulang Piala AFF B-19 ke Malaysia buat pertama kalinya.

“Biarpun masih fobia dengan insiden berlaku malam tadi (semalam) tetapi saya akan pastikan Malaysia jadi juara untuk kejohanan kali ini,” katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada masa depan.

Seorang lagi pemain Malaysia, Muhammad Anwar Ibrahim, pula menegaskan beliau yakin rakan sepasukannya tidak akan tunduk dengan provokasi dan ejekan penyokong tuan rumah apabila turun beraksi menentang Myanmar dalam aksi final, malam esok.

“Saya sendiri tidak berasa takut dengan provokasi penonton tuan rumah, malah perbuatan mereka menaikkan semangat untuk mempamerkan aksi terbaik di hadapan 30 ,000 penonton Indonesia,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:39 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan