Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Apa yang
dibimbangkan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee
mungkin berulang apabila beliau dijangka berdepan masalah mendapatkan pemain
terbaik mengharungi kempen Sukan Asia di Indonesia bulan depan.
Meskipun senarai 24 pemain sudah
diumumkan Rabu lalu bagi mengikuti latihan pusat pada 30 Julai ini, namun tiada
jaminan untuk pemain berkenaan akan mendapat pelepasan pasukan masing-masing.
Ini berikutan pertembungan
saingan Sukan Asia dengan Piala Malaysia yang turut akan bermula pada awal Ogos
ini.
Perkara itu diakui oleh kapten
Pahang, Matthew Davies yang belum mengetahui statusnya untuk mendapat kebenaran
menyertai skuad B-23.
“Saya tidak tahu, maaf saya tak
boleh komen lagi mengenai perkara ini. Setakat ini belum ada perbincangan
dengan pihak pengurusan. Jadi adalah baik agar saya tak beri sebarang
kenyataan,” katanya.
Perkara yang sama diluahkan oleh
pemain perancang yang membantu skuad B-23 melakar sejarah mara ke suku akhir
Kejohanan AFC di China Januari lalu, Nor Azam Azih.
“Memang saya gembira dapat
terpilih bersama pasukan ke Sukan Asia, tapi masalahnya tarikh untuk latihan
pusat itu bertembung dengan jadual Piala Malaysia, takut tak dapat pelepasan
pihak pengurusan.
“Pada saya dua-dua tugas ini sama
penting jadi saya biarkan pihak pengurusan buat keputusan.
“Tak adil juga kalau saya lewat
menyertai pasukan sedangkan pemain lain sudah berlatih awal. Jika saya tak
berlatih dan terus bersama pasukan ke Sukan Asia, susah nak dapat keserasian
nanti,” kata pemain berusia 23 tahun itu.
Melihat kepada masalah ini,
kemungkinan pemain beberapa pasukan lain juga berdepan situasi yang sama.
Pada pusingan kelayakan B-23 AFC
di Bangkok tahun lalu kontroversi melanda apabila Azam, Davies, Safawi Rasid
dan Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau
Pinang) tidak mendapat pelepasan majikan mereka.
Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) tidak boleh mengenakan sebarang tindakan memandangkan Sukan Asia tidak
terikat dengan kalendar FIFA.
Selain itu, Kim Swee turut
memanggil tiga pemain senior Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dari Kedah
serta Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT) ke Sukan Asia mengikut kuota yang
ditetapkan namun status mereka untuk bersama pasukan juga belum diketahui
setakat ini.
Jika ia berlaku lagi, ia sesuatu
yang menyedihkan kerana pasukan handalan seperti Korea Selatan
bersungguh-sungguh menyenaraikan pasukan terkuat termasuk memanggil bintang
Piala Dunia, Son Heung-min dan penjaga gol, Cho Hyun-woo dalam skuad mereka.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 20 Julai 2018 @ 10:22 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan