Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk
Jamal Nasir Ismail menggesa jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi peluang
kepada pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh membuktikan kemampuannya
bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, tidak salah untuk
Cheng Hoe memanggil Sumareh bagi tugasan skuad kebangsaan selepas ini
memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah memberi bayangan untuk
membuka pintu kepada pemain naturalisasi.
Malah, katanya, adalah satu
pembaziran sekiranya khidmat pemain berusia 23 tahun itu tidak digunakan
selepas mendapat taraf kerakyatan, April lalu.
"Sumareh pemain bagus,
khusus di bahagian sayap di mana dia pemain yang pantas, memiliki kemahiran
menggelecek dan boleh memberi masalah kepada pertahanan lawan, kita memang
memerlukan pemain seperti ini.
"Memandangkan dia juga sudah
mendapat kerakyatan negara ini, tak salah untuk kita mencuba. Sebab kita tidak
tahu kemampuannya beraksi di peringkat antarabangsa, kerana tahap permainan
antarabangsa berbeza di peringkat kelab," kata Jamal.
Sumareh, 23, mengakui sudah
mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April lalu dan menyatakan kesudian
untuk mewakili Harimau Malaya selepas hampir enam tahun beraksi dalam kancah
Liga Malaysia (Liga-M).
Pemain Pahang itu yang sudah
menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun jelas gembira apabila FAM bersedia
mempertimbangkan untuk menyerap pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad
kebangsaan yang kini menduduki tangga ke-171 dunia.
Bagaimanapun, Jamal berkata, FAM
tidak boleh hanya bergantung kepada pemain naturalisasi sehingga mengabaikan
aspek pembangunan.
"Selama mana kita nak
bergantung kepada pemain naturalisasi? Mungkin untuk jangka masa pendek, kita
boleh ambil bagi posisi kritikal seperti penyerang. Kita boleh lihat penyerang
tempatan kita tenggelam dengan 99 peratus pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M)
guna penyerang luar.
"Pembangunan kita tak selari
lagi, kita ada NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara), kita ada pasukan
bawah 19 tahun, bawah 23 tahun, skuad senior tapi dengan cara permainan
berbeza. Kita memang mahukan pemain muda ini mewakili negara tapi setakat ini,
pembangunan kita belum benar-benar berkesan," jelasnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 27 Julai 2018 @ 6:21 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan