Ahad, 29 Julai 2018

FAM tidak beranjak daripada sasar pusingan kedua

BADDROL BAKHTIAR antara pemain senior yang dipanggil untuk mengisi kuota tiga pemain lebih usia dalam skuad ke Sukan Asia.
29 Julai 2018 3:00 AM

MELAKA 28 Julai – Walaupun peluang nampak sukar namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap meletakkan sasaran layak ke pusingan kedua dalam Sukan Asia bulan depan kepada skuad negara.

Skuad bawah 23 tahun negara akan bersaing dengan Kyrgyzstan, Bahrain dan dua pasukan pilihan iaitu juara bertahan Korea Selatan serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam peringkat Kumpulan E di Indonesia bermula 10 Ogos nanti.


Skuad dibimbing Datuk Ong Kim Swee pada awalnya dilihat memiliki peluang agak seimbang dengan Kyrgyzstan dan Bahrain tetapi keadaan menjadi sukar dengan kemasukan UAE menerusi undian tambahan yang dibuat beberapa hari lalu.

Namun Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sasaran mara ke pusingan kedua dilihat masih realistik berdasarkan kedudukan semasa pasukan di bawah bimbingan Kim Swee.

Mengakui kemasukan UAE ke dalam kumpulan berkenaan menerusi undian tambahan pada 25 Julai lalu turut memberi laluan sukar kepada skuad remaja kebangsaan namun katanya FAM perlu meletakkan suatu taraf pencapaian yang sesuai untuk diburu oleh skuad negara.

“Kami telah bincang mengenai sasaran ini secara bersama namun FAM perlu meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang tinggi untuk berada dalam 16 pasukan terbaik dan semua pihak akan mengusahakannya bagi merealisasikan sasaran itu.

“Berhubung mengenai pelepasan pemain daripada pasukan mereka, kita akan menunggu hingga Isnin ini untuk pengesahan sama ada kesemua pemain yang disenaraikan akan menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan.

“Mereka seterusnya akan ke China untuk persediaan menghadapi kejohanan berkenaan sebelum ke Bandung lebih awal pada 8 Ogos nanti manakala jadual perlawanan persahabatan bersama Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos dibatalkan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-5 bagi sesi 2017-2021 di sini, hari ini.

Kim Swee, sebelum ini mengekalkan 17 daripada 24 pemain yang beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 2018 untuk me­nyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan bermula 30 Julai ini.

Empat muka baharu yang tersenarai pula adalah Syafiq Ahmad (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Rodney Celvin Akwe­n­sivie (PKNS FC) dan penjaga gol Khatul Anuar Md. Jalil (Kuala Lumpur).

Selain itu Baddrol Bakhtiar (Kedah), Rizal Ghazali (Kedah) dan Aidil Zafuan Abd. Radzak (JDT) mengisi slot kuota tiga pemain lebih usia.

Namun beliau membuat keputusan memanggil empat pemain baharu iaitu Adib Zainudin (Johor Darul Ta'zim II), Akhyar Rashid (Kedah), R. Kogi­leswaran (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

Malaysia dijadualkan bertemu Kyrgyzstan pada 10 Ogos dalam perlawanan pertama pe­ringkat kumpulan dan kemudian menentang UAE (12 Ogos), Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos).

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-tidak-beranjak-daripada-sasar-pusingan-kedua-1.718304#ixzz5MbXsBkcf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan