Jumaat, 13 Julai 2018

Penonton cabut pagar cuba serang kami - Nizaruddin


 SUASANA di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, Indonesia ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF B-19
SUASANA di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, Indonesia ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF B-19 antara Malaysia dan Indonesia malam tadi. Dalam gambar kecil, Muhammad Nizaruddin Jazi. - UTUSAN ONLINE
13 Julai 2018 1:03 PM

KUALA LUMPUR 13 Julai - Dihujani pelbagai objek termasuk botol yang dilemparkan penyokong Indonesia selepas berakhir perlawanan peringkat separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 bawah 19 tahun (B-19) merupakan satu pengalaman sukar dilupakan buat pemain-pemain skuad muda negara.

Kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 dalam 120 minit perlawanan ternyata membangkitkan kemarahan penyokong lawan yang disifatkan sukar menerima kekalahan kepada jiran serumpun, apatah lagi laman sendiri.


Segalanya bermula sebelum wisel permulaan ditiupkan lagi apabila penyokong tuan rumah didakwa sengaja memprovaksi pemain dan staf kejurulatihan Malaysia B-21 kononnya sebagai perang psikologi bagi menjatuh moral pasukan.

‘Perang’ yang dicipta itu seakan menjadi apabila Indonesia berjaya merobek gawang skuad negara seawal minit kedua menerusi jaringan Egy Maulana Vikri namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Muhammad Syaiful Alias meledak jaringan penyamaan buat Malaysia pada minit ke-15.

Pemain tengah skuad B-19, Muhammad Nizaruddin Jazi berkata, keadaan menjadi semakin tegang selepas tamatnya penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo itu apabila penyokong Indonesia mula melempar pelbagai objek ke dalam padang dan kawasan tempat duduk pasukan negara.

Tambah membimbangkang, ada diantara pagar stadium rosak apabila dicabut penyokong sebelum cuba menceroboh kawasan pada namun tindakan itu sempat dihalang pihak berkuasa.

“Ada provokasi sikit disebabkan penyokong Indonesia selepas kalah. Ini kerana skuad Malaysia B-19 tidak pernah kalah dengan mereka (bagi peringkat umur tersebut). Dia provokasi pemain kita.

“Kami kena baling botol dan pelbagai lagi objek. Takut juga sebab tengok pagar stadium telah rosak kerana dicabut penyokong tuan rumah. Ada yang masuk ke padang cuba ceroboh tapi Alhamdullillah semuanya dapat dikawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Nizaruddin berkata, insiden itu sedikit pun tidak melenturkan semangat mereka untuk beraksi menentang Myanmar pada aksi final yang dijangka berlangsung pada pukul 4.30 petang esok.

“Ya, ini merupakan pembakar semangat untuk saya dan kawan-kawan. Kami mahu buktikan bahawa Malaysia mampu menjulang Piala AFF di bumi Indonesia,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/penonton-cabut-pagar-cuba-serang-kami-nizaruddin-1.708261#ixzz5L8gfzOKz
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan