Ahad, 5 Ogos 2018

Anak Harimau tumbang di Changzhou

Ahad, 5 Ogos 2018 | 10:31pm
 
KELANA JAYA 30 JULAI 2018. GAMBAR fail, jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee ketika sesi latihan bagi persiapan Sukan Asia Indonesia 2018 di Wisma FAM Kelana Jaya pada 30 Julai lalu. - Foto Saddam Yusoff
Anak Harimau tumbang di Changzhou
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) perlu terus bekerja keras sekiranya berhasrat mara lebih jauh pada saingan Piala Asia Jakarta-Palembang 2018 yang akan berlangsung kurang dua minggu lagi.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu kini hanya memiliki tempoh 10 hari untuk menambah baik apa juga kelemahan selepas mereka tumbang 2-1 di tangan skuad B-23 China pada aksi persahabatan di Pusat Sukan Olimpik Stadium Changzhou, sebentar tadi.

Berpeluang menguji skuad kendalian Massimiliano Maddaloni itu, Kim Swee menurunkan barisan pemain boleh dianggap sebagai kesebelasan utama terbaik sekali gus sedikit sebanyak memberi gambaran terhadap barisan pemain yang akan diberi kepercayaan pada temasya berprestij itu nanti.

Pada aksi terbabit, Malaysia terlebih dulu mengejutkan tuan rumah apabila mendahului permainan menerusi penyudah kemas pemain sayap lincah, Akhyar Rashid pada minit ke-14.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli yang menjatuhkan Deng Hanwen sehingga berguling di dalam kotak penalti pada minit ke-38 mengundang padah apabila China dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Ai Kun.

Penyerang yang beraksi bersama pasukan Liga Eredivisie, ADO Den Haag, Zhang Yuning tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu menerusi rembatan deras sekali gus mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Babak kedua bersambung, penguasaan permainan beralih kepada China dan akhirnya tuan rumah mendahului permainan menerusi jaringan pemain tengah, Chen Zhechao pada minit ke-53.

Selepas aksi persahabatan terbabit, Malaysia akan pulang ke tanah air, Selasa ini dan dijangka mengharungi satu lagi aksi pemanas badan terakhir sebelum terbang ke Indonesia bagi aksi Sukan Asia 2018.

Sebagai rekod, undian kali ketiga bagi acara bola sepak lelaki Sukan Asia 2018 menyaksikan hanya empat pasukan akan bersaing dalam Kumpulan E dengan Malaysia akan berhadapan juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan juga Bahrain.

Pada edisi 2014 yang berlangsung di Incheon, Korea Selatan, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan apabila sekadar menghuni tangga ketiga Kumpulan A di belakang Korea Selatan dan Arab Saudi namun menamatkan saingan di kedudukan ke-19 secara keseluruhan.

Pencapaian terbaik skuad negara di Sukan Asia adalah berjaya membawa pulang pingat gangsa pada edisi 1962 di Jakarta dan 1974 di Tehran.
SUNBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 5 Ogos 2018 | 10:31pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan