Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:53pm
AKSI Safawi Rasid ledak gol pertama ketika menentang Korea Selatan, semalam. - Foto BERNAMA
Safawi puas benam ego Korea Selatan
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: ‘Pembunuh’ Korea Selatan, Safawi Rasid puas selepas dua golnya membantu skuad negara menenggelamkan ego juara bertahan itu pada aksi Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, malam tadi.
Malah, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) turut melontarkan rasa gembiranya selepas rakan sepasukannya berjaya menunjukkan semangat juang tinggi bagi mengekang kemaraan ‘Taeguk Warriors’ yang mengasak sehingga berjaya mengurangkan defisit jaringan.
“Alhamdulillah kerana kami berjaya mendapat keputusan yang positif. Saya berbangga dengan rakan sepasukan kerana berjaya mengikut perancangan disusun jurulatih.
“Sudah tentu kami gembira kerana dapat menewaskan pasukan yang dianggap pilihan dan juga juara bertahan edisi lalu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Safawi boleh dianggap sebagai pemain negara paling menyerlah pada temasya kali ini selepas terbabit dengan semua lima gol yang dijaringkan pasukan negara dalam dua aksi setakat ini.
Penyerang berusia 21 tahun itu membuka akaun golnya ketika menentang Krygyzstan pada aksi pertama menerusi sepakan penalti sebelum menjadi perancang dengan melakukan hantaran buat jaringan Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad pada aksi yang berkesudahan 3-1 itu.
Safawi meneruskan ‘naluri pembunuhnya’ apabila meledak dua gol pada aksi kedua bertemu Korea Selatan sekali gus menyaksikan dia kini sudah mengumpul tiga jaringan dalam dua perlawanan yang diharungi.
Terdahulu, skuad bola sepak negara membuktikan tiada apa yang mustahil apabila membuat kejutan terbesar pada temasya terbesar Asia itu apabila mengejutkan Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan E, malam tadi.
Safawi muncul sebagai wira negara apabila meledak kedua-dua gol dalam aksi berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung yang menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 44 tahun di tangan Korea Selatan dalam temasya terbesar Asia itu.
Kali terakhir Malaysia menewaskan lawan itu pada temasya Teheran 1974 yang menyaksikan skuad negara dibarisi legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari menang 3-2 pada pusingan kedua sebelum menamatkan aksi dengan meraih pingat gangsa.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:53pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan