Selasa, 14 Ogos 2018

Kim Swee hanya bawa dua penjaga gol ke Sukan Asia


 PASUKAN bawah 23 Malaysia mendengar amanat Presiden FAM, Hamidin
PASUKAN bawah 23 Malaysia mendengar amanat Presiden FAM, Hamidin Mohd. Amin (kiri) dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang Sukan Asia 2018. Pasukan negara akan berlepas ke Indonesia hari ini. Utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR
13 Ogos 2018 3:00 AM

KELANA JAYA 12 Ogos – Penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md. Jalil dan benteng PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie digugurkan daripada skuad 20 pemain bola sepak ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Jurulatih skuad bawah 23 (B-23), Datuk Ong Kim Swee sebalik­nya menamakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang baru pulang dari sesi ujian di Jepun untuk beraksi dalam edisi ke-18 temasya yang bermula minggu depan.

Senarai muktamad itu turut mengambil kira prestasi skuad negara dalam dua perlawanan persahabatan yang menyaksikan mereka tewas 2-1 kepada China dan menumpaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0.

Pemain lebih umur dari Kedah iaitu kapten, Baddrol Bakhtiar, 30, dan Rizal Ghazali, 26, mengisi syarat kuota dua daripada tiga yang dibenarkan bagi Sukan Asia.

Sasaran utama pasukan B-23 negara ialah melepasi peringkat Kumpulan E sekurang-kurangnya sebagai antara empat pasukan di tempat ketiga terbaik.

“Pemain di posisi padang (outfield) lebih penting daripada penjaga gol. Lagipun menurut peraturan, penjaga gol yang disenaraikan jika tercedera serius boleh diganti bila-bila masa.

“Senarai ini ialah yang terbaik dan mampu menggalas tugas di mana-mana posisi yang dikehendaki. Hadi juga memberi lebih pilihan di bahagian serangan.

“Daniel Amier Norhisham pula perlu dinilai satu dua hari lagi tetapi mungkin dapat pulih sepenuhnya bagi perlawanan kedua atau ketiga,” katanya selepas sesi latihan di Wisma FAM di sini hari ini.

Mengenai insiden pergaduhan dengan pemain UAE di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, katanya, pemain tidak lagi membangkitkan perkara yang telah lepas dan fokus kepada tujuan utama mereka dalam Sukan Asia.

“Saingan Bawah 23 Asia ini tidak begitu besar jurangnya. Cuma Korea Selatan dengan bintang senior Piala Dunia mereka yang ada sedikit kelebihan.

“Memang kita hendak mara lebih jauh tetapi sebaiknya kita tumpukan dulu kepada saingan kumpulan,” kata Kim Swee.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Kyrgyzstan, Rabu depan.

Mereka kemudian bertemu Korea Selatan (Jumaat) dan Bahrain pada 20 Ogos.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-hanya-bawa-dua-penjaga-gol-ke-sukan-asia-1.727997#ixzz5ODlI54FI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan