19 Ogos 2018 3:00 AM
JAKARTA 18 Ogos - Pengendali
skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee memuji perwatakan
pemainnya yang memiliki semangat juang tinggi serta ingin menang yang
menurutnya menjadi ramuan penting dalam kejayaan pasukannya menundukkan juara
bertahan Korea Selatan dalam saingan Kumpulan E, Sukan Asia 2018 semalam.
Katanya, pasukan muda negara juga
berjaya memanfaatkan setiap peluang yang terhidang dengan baik untuk melakar
kemenangan berharga bagi memastikan mereka mengesahkan tempat dalam persaingan
kalah mati.
Beliau berkata, anak-anak buahnya
berjaya meneruskan momentum positif susulan kemenangan ke atas Kyrgyzstan Rabu lalu
tetapi tidak dinafikan perlawanan dengan Korea Selatan merupakan cabaran
terbesar kerana mereka adalah kuasa besar bola sepak Asia.
“Saya akui pasukan ini tidak
menampilkan corak permainan berkualiti tetapi mereka memiliki kelebihan dari
segi kemahiran individu yang boleh mengubah keputusan.
“Apa yang penting adalah
pemain-pemain menunjukkan perwatakan sebenar, percaya mampu mendapatkan
keputusan yang bagus dan mereka membuktikan bahawa kerja keras serta keinginan
boleh menghadirkan keputusan baik dalam apa-apa jenis sukan,” katanya ketika
ditemui selepas tamat permainan.
Dalam perlawanan di Stadium Si
Jalak Harupat, Bandung itu pasukan kendalian Kim Swee melakar kemenangan 2-1 ke
atas pasukan yang diterajui bintang Piala Dunia, Son Hyeung-min sekali gus
meletakkan mereka di kedudukan teratas Kumpulan E dengan enam mata selepas dua
perlawanan.
Sementara itu, pengendali B-23
Korea Selatan, Kim Hak-bum mengakui silap melakukan percaturan dengan
menggunakan sistem giliran pemain terlalu awal membuatkan mereka kehilangan
mata penting dalam temasya kali ini.
Katanya, mereka terlalu banyak
memberikan ruang kepada Malaysia dan tidak menggunakan strategi permainan yang
dirancang serta gagal menghantar bola ke bahagian serangan untuk meraih gol.
“Perkara seperti ini tidak
seharusnya berlaku. Saya menggilirkan pemain terlalu awal dan bertindak menukar
enam pemain dalam perlawanan ini.
“Saya akui ini adalah kesilapan
saya. Kami terpaksa memilih laluan berliku kali ini tetapi saya percaya kami
mampu melangkah lebih jauh,” katanya. – MINGGUAN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perwatakan-pemain-kunci-kejayaan-1.731969#ixzz5Oh64I91t
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan