Isnin, 13 Ogos 2018

EFA kemuka permohonan maaf


12 Ogos 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (EFA) menggugurkan Mohammed Khalfan Al-Harazi selepas mendapati pemain tengah skuad Bawah 23 (B-23) mereka itu menjadi punca kepada pergaduhan ketika menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam semalam.

EFA dalam kenyata­annya turut memohon maaf kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas insiden berkenaan sambil menyifatkan tindakan Khalfan mencemarkan imej pasukan selain membunuh semangat kesukanan.

“Kami berasa kesal dan mengutuk tindakan yang dicetuskan oleh Mohammed Khalfan Al-Harazi kerana menjadi punca kepada insiden pergaduhan malah tindakannya itu tidak menunjukkan moral serta semangat kesukanan yang sentiasa menjadi slogan pasukan kebangsaan dan kelab dalam setiap perlawanan.

“Berdasarkan laporan awal yang diterima daripada barisan pegawai dan jurulatih, kami memutuskan untuk menggugurkan Mohammed Khalfan Al-Harazi daripada senarai pemain yang akan menyertai Sukan Asia 2018.

“Selain itu, Khalfan akan dirujuk kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas pemain itu mengikut prosedur dan undang-undang yang sudah ditetapkan selari de­ngan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.

Malaysia sedang mendahului UAE 2-0 apabila pergaduhan tercetus pada masa kecederaan babak kedua selepas Khalfan mengasari pemain negara yang kemudian membalas.

Pergaduhan mere­bak sehingga melibatkan pemain di bangku simpanan ke­dua-dua pasukan malah lebih memburukkan keadaan ada yang menggunakan kerusi sebagai senjata.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata mereka telah menerima permohonan maaf daripada EFA selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan sejurus perlawanan tamat.

“Saya dan Datuk Hamidin Mohd. Amin (Presiden FAM) terus mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Agung EFA, Mohammed Hazzam Al Dhaheri dan juga naib pre­sidennya, Abdulla Naser Al Jneibi serta Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

“Selepas perbinca­ngan, FAM telah menerima surat rasmi daripada UAE FA me­nyatakan mereka meminta maaf di atas insiden tersebut dan mengambil serius apa yang berlaku itu dengan akan melakukan siasatan dalaman bagi tindakan diambil kepada pemain dan pegawai pa­sukan berkenaan yang terlibat.

“Bagi pihak FAM pula, kami akan mengemukakan laporan daripada Komisioner Perlawanan (MC) dan juga pengadil kepada AFC pada hari ini dan seterusnya akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua pihak,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/efa-kemuka-permohonan-maaf-1.727330#ixzz5O3v67Frf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan