Rabu, 22 Ogos 2018

Waspada ancaman Samurai Biru

Jepun miliki semangat juang tinggi, pertahanan yang cukup mantap
22 Ogos 2018 1:58 AM
BADDROL (kiri) optimis rakan sepasukan mampu melakar kejutan ke

BADDROL (kiri) optimis rakan sepasukan mampu melakar kejutan ke atas Jepun pada aksi 16 pasukan terbaik di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi Jumaat ini.

BEKASI, Indonesia – Kap­ten skuad bawah 23 tahun ­(B-23) negara, Baddrol Bakhtiar berharap dapat menggunakan pengalamannya di pentas antarabangsa bagi membantu pasukan mencipta kejutan ke atas skuad muda Jepun dalam pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018 Jumaat ini.

Baddrol yang beraksi dalam ke­semua perlawanan peringkat Kumpulan E termasuk ketika tewas kepada Bahrain percaya skuad negara mempunyai kualiti untuk menewaskan skuad Samurai Biru itu.


Sebagai rekod, Malaysia minggu lalu mencipta kejutan dengan menewaskan pemenang pingat emas edisi 2014, Korea Selatan 2-1 untuk muncul juara kumpulan.

“Secara peribadi, saya tidak akan memandang rendah pasukan Jepun. Walaupun mereka masih muda tetapi pasukan itu telah lama dibentuk dan sudah tentu ia memberi kelebihan pada aspek persefahaman dan keserasian pemain.

“Kami berkesempatan untuk melihat aksi mereka menentang Vietnam minggu lalu dan saya berpandangan Jepun merupakan pasukan yang mempunyai sema­ngat juang tinggi selain kelebihan pertahanan yang cukup mantap,” katanya.

Ketua pasukan Kedah itu turut percaya peluang kedua-dua pasukan seimbang tetapi dengan syarat barisan pemain perlu menyudahkan peluang terhidang sebaik mungkin selain elakkan kesilapan mudah.

“Pasukan sudah tentu menyasarkan kemenangan dan barisan pemain perlu bijak mengintai ruang dan peluang serta menggunakan kelemahan mereka untuk mence­rahkan peluang ke suku akhir.

“Saya harap rakan-rakan sepasukan mampu melakar satu lagi sejarah kerana jika kita boleh menewaskan Korea Selatan, sudah tentu ada peluang untuk menundukkan Jepun,” ujar Baddrol.
SUMBER-KOSMO ONLINE 22 Ogos 2018 1:58 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan