PEMAIN Malaysia, Ali Imran Sukari
mengawal bola ketika diasak pemain Thailand dalam perlawanan Kumpulan B,
Kejohanan AFF Bawah 16 di Surabaya, Indonesia kelmarin. aseanfootball.org
Zazali Jamiansukan@utusan.com.my
01 Ogos 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 31 Julai - Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengemukakan bantahan kepada Konfederasi Bola
Sepak Asia (AFC) andai hukuman yang bakal dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak
ASEAN (AFF) kepada tuan rumah Kejohanan B-16 di Indonesia tidak dianggap
setimpal atas insiden yang didakwa menghina negara semalam.
Insiden itu berlaku ketika
Malaysia kalah 1-2 kepada Thailand dalam perlawanan di peringkat Kumpulan B.
Nasihat itu diberikan oleh AFC
kepada FAM berhubung insiden penyokong Indonesia yang melaungkan ‘Malaysia itu
anjing’ sewaktu perlawanan pertama skuad negara dalam kejohanan di Surabaya
itu.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola
Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, ketika ini pihaknya masih
menunggu laporan rasmi berhubung insiden tersebut dan memaklumkan hanya AFF
boleh mengenakan hukuman awal terhadap insiden berkenaan manakala pihaknya
akan bertindak sekiranya FAM membuat aduan kepada mereka jika tidak berpuas
hati dengan tindakan dikenakan oleh badan induk bola sepak rantau Asia Tenggara
itu.
Tambah Windsor, pihaknya masih
perlu menilai laporan yang dikemukakan malah percaya pihak AFF juga akan
meneliti segalanya sebelum bertindak.
“Bentuk hukuman biasanya
bergantung kepada jenis kesalahan yang berlaku, sama ada sekadar menerusi
perkataan dan tindakan fizikal atau kekasaran lain.
“Dalam situasi ini saya boleh
katakan rujukan hukuman mungkin seperti Malaysia terima sewaktu menjadi tuan
rumah Sukan SEA 2017.
“Ketika itu tuan rumah didenda
kerana tindakan penyokong kita melaungkan kata-kata menghina terhadap pasukan
Brunei dan Singapura ketika perlawanan acara bola sepak lelaki,” katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pihak FAM juga telah memaklumkan
akan mengambil beberapa langkah dalam memastikan kawalan keselamatan skuad B-16
lebih terjamin selepas ini.
Insiden penyokong Indonesia
menghina Malaysia itu berlaku sewaktu skuad negara menentang Thailand dalam
perlawanan pertama Kumpulan B yang menyaksikan Malaysia tewas 2-1.
Walaupun tidak menjaringkan gol,
namun Thailand meraih mata penuh di Stadium Joko Samudro selepas pemain
Malaysia menjaringkan dua gol sendiri.
“Dua gol itu terhasil kerana
asakan berterusan kami ke atas pasukan Malaysia. Dan kami tidak kisah dengan
cara kami meraih kemenangan,” kata jurulatih Thailand, Thongchai Rungreangleas
kepada laman web aseanfootball.org.
Diasak berterusan penjaga gol
Syahmi Adib Mohd. Shukri gagal berkomunikasi dengan baik dengan barisan pemain
pertahanan, serangan Thailand pada minit ke-14 menyaksikan ketua pasukan
Malaysia, Ali Imran Sukari membuat kesilapan apabila menolak bola ke dalam
pintu gol sendiri.
Jurulatih skuad negara, Raja
Azlan Shah membuat pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Aleef Haedi Za
Ba yang memberikan skuadnya lebih kepantasan dan pada minit ke-46 dia menyepak
masuk gol penyamaan setelah menerima hantaran lintang Alif Daniel Abdul Aziz
dari sebelah kiri.
Bagaimanapun, masalah komunikasi
sekali lagi menyaksikan Malaysia menerima padah apabila hantaran lintang Apidet
Janngam ditampan masuk ke gawang sendiri oleh Muhammad Nuh Azlan Mohd. Yusof
pada minit ke-64.
“Kami bermain lebih baik pada
babak pertama berbanding selepas rehat. Kami nampaknya menghadapi masalah di
bahagian pertahanan dan mereka ada masanya kelihatan tidak sepakat,” kata Raja
Azlan Shah.
Malaysia akan bertemu Brunei pada
Jumaat ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-boleh-bawa-kepada-afc-1.720349#ixzz5MwTzpIWh
© Utusan Melayu (M) Bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan