Isnin, 20 Ogos 2018

Malaysia tumbangkan Korea Selatan

 PENYERANG Malaysia,Safawi Rasid (kiri) meraikan jaringan keduanya bersama Adam Nur Azlin dalam perla
PENYERANG Malaysia,Safawi Rasid (kiri) meraikan jaringan keduanya bersama Adam Nur Azlin dalam perlawanan dengan Korea Selatan dalam Kumpulan E bacara bola sepak Sukan Asia ke-18 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung semalam. – AP
Azan Fitri Ahmad Hidzir & Zazali Jamian

18 Ogos 2018 3:00 AM

JAKARTA 17 Ogos - Skuad negara mengesahkan tempat mereka dalam pusingan kalah mati bola sepak Sukan Asia 2018 dengan cukup bergaya apabila menumpaskan pasukan pilihan Korea Selatan yang diperkuatkan bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min 2-1 dalam saingan Kumpulan E, Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung hari ini.

Kejayaan ini merupakan yang pertama buat Malaysia ke atas Korea Selatan dalam Sukan Asia selepas kali terakhir tewas 0-3 dalam temasya 2014 di Incheon. Kejayaan ini juga bermakna mereka membalas dendam kekalahan 2-1 kepada Korea Selatan dalam suku akhir Kejohanan Bawah 23 Asia di China Januari lalu.

Kemenangan ke atas Korea Selatan sekali gus meletakkan Malaysia selaku penghuni baharu kedudukan teratas dalam Kumpulan E selepas meraih enam mata daripada dua perlawanan. Malaysia menumpaskan Kyrgyzstan 4-0 dalam perlawanan pertama kelmarin.

Skuad negara, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk ke pusingan kedua, bermula dengan baik dalam pertemuan antara dua pasukan yang mengambil harimau sebagai lambang mereka dan berjaya menyaingi asakan Korea Selatan pada babak pertama apatah lagi selepas mendahului.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Safawi Rasid yang mengambil peluang terhidang selepas penjaga gawang Korea Selatan, Song Bum-keun terlepas bola daripada dakapannya setelah berlaga dengan pemain pertahanan.

Korea Selatan mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-12 tetapi percubaan Kim Geon-ung gagal menemui sasaran.

Lima minit kemudian Korea Selatan sekali lagi meraih peluang berharga namun percubaan Hwang Ui-jo dari dalam kotak penalti hasil hantaran silang Hwang Hee-chan sekadar melepasi gawang.

Ketika hampir memasuki waktu rehat, Safawi meledak gol kedua perlawanan selepas memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan percubaan dari luar kotak untuk sekali lagi menewaskan Bum-keun.

Ini menjadikan jumlah jaringan Safawi kepada tiga selepas turut menemui sasaran ketika bertemu Kyrgyzstan.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diasak bertalu-talu namun ketangkasan benteng pertahanan yang diterajui Dominic Tan berjaya mengekang lawan.

Terdesak untuk mencari gol, Korea Selatan membawa masuk Heung-min pada pertengahan babak kedua namun barisan negara masih mampu menyerap tekanan sehinggalah Ui-jo berjaya melepasi perangkap offside untuk merapatkan jurang gol.

Mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-87 namun sepakan bebas Heung-min.

Malaysia akan bertemu Bahrain dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Isnin ini. – UTUSAN
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-tumbangkan-korea-selatan-1.731406#ixzz5OiCwBTgf
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan