MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
PEMAIN tengah skuad Bawah 23
tahun (B-23) Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed Khalfan Al-Harazi yang
mencetuskan pergaduhan pada aksi persahabatan bertemu Malaysia malam tadi
digugurkan daripada senarai pemain ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Perkembangan itu diumumkan
Persatuan Bolasepak UAE (EFA) menerusi satu kenyataan di laman sesawangnya,
hari ini.
Dalam kenyataan itu, EFA turut
menyatakan permohonan maaf mereka kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
atas insiden itu yang dilihat tidak mencerminkan etika pemain UAE serta
semangat kesukanan.
“EFA menyatakan rasa kekesalan ke
atas insiden yang berlaku pada aksi bertemu Malaysia malam tadi yang berpunca
daripada pemain kami, Mohammed Khalfan Al-Harazi yang tidak menunjukkan
semangat kesukanan dan juga moral yang sentiasa menjadi slogan pasukan ini dam
setiap perlawanan.
“Berdasarkan laporan awal yang
diterima, kami mengambil keputusan untuk menyingkirkan Mohammed Khalfan
daripada senarai pemain skuad B-23 yang akan beraksi di Sukan Asia 2018.
“Selain itu, jawatankuasa yang
bertanggungjawab akan mengambil tindakan ke atas Mohammed Khalfan mengikut
prosedur dan undang-undang yang sudah ditetapkan selari dengan Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC),” katanya.
Terdahulu, insiden pergaduhan
pemain mencemari kemenangan 2-0 skuad (B-23) negara ke atas pasukan dari Timur
Tengah itu pada aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam malam tadi.
Insiden pergaduhan itu berlaku
pada masa kecederaan babak kedua dan ia tercetus selepas Khalfan mengasari
pemain negara sebelum ada tindak balas daripada pemain kedua-dua pasukan.
Nyata insiden bertukar menjadi
serius apabila pergaduhan menjadi semakin ‘marak’ sehingga ke luar padang dan
merebak ke semua pemain termasuk di bangku simpanan.
Pada aksi persahabatan terakhir
sebelum skuad B-23 negara ke Indonesia Isnin ini, anak buah Datuk Ong Kim Swee
itu memastikan kemenangan hasil dua jaringan daripada Safawi Rasid pada minit
ke-27 dan Mohammad Akhyar Abdul Rashid (m-64).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 10:40 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan